KUALA LUMPUR : Penerbit dan pelawak, Saiful Apek, 54, meluahkan hasrat untuk menghasilkan sebuah filem biografi berjudul 12 Mei yang mana secara keseluruhannya dianggarkan bakal menelan belanja sebanyak RM15 juta.
Bgaaimanapun, kata Saiful atau nama sebenarnya, Mohd Saifulnizam Mohammed Yusoff, disebabkan kos yang tinggi, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan dan belum dapat direalisasikan sehingga kini.
“Secara peribadi, filem 12 Mei sangat istimewa buat saya kerana ia merupakan naskhah biografi yang akan menceritakan kisah hidup saya di dalamnya.Judul itu merupakan tarikh lahir saya sendiri.
“Bagi yang belum tahu, sejak dilahirkan, saya tak tahu pun siapa ibu dan ayah kandung kerana ditinggalkan di kawasan semak selama tiga hari sebelum peristiwa hitam 13 Mei terjadi. Hanya selepas 21 tahun, baru saya dapat jumpa keluarga kandung.
“Ketika itulah emak ceritakan yang saya dilahirkan pada tanggal 12 Mei. Sebelum itu, saya cuma diberitahu tarikh lahir saya ialah pada Ogos. Saya tak salahkan keluarga angkat kerana mereka memang tak tahu dan saya juga semasa bayi, ditinggalkan tanpa sebarang dokumen,”katanya.
Saiful berkata demikian semasa ditemui pada Majlis memeterai perjanjian bersama Saliva Walit dan SW Gitu- Gitu Sdn Bhd sebagai Merchant kepada O2O Smart Store di Nilai, baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengasas Syarikat SW Gitu-Gitu Sdn Bhd, Noor Azian Mohamed.
Menurut Saiful Apek lagi, hasrat untuk menghasilkan filem itu pernah dikongsikan bersama sahabatnya, Allahyarham Bob Kuman.
Katanya, untuk menghasilkan filem dengan latar belakang era 1969 dan 1970-an, ia bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan bajet yang besar.
“Dari segi pengarahan, saya berfikir, apakah saya sendiri yang akan mengarahkannya kerana yang pasti, dalam filem 12 Mei, saya tidak akan melakonkan watak sendiri.
“Saya juga perlu mencari pelakon yang mempunyai iras atau wajah macam saya yang akan dipaparkan mengikut zaman kanak-kanak, remaja sehinggalah dewasa.
“Oleh itu, perlu ada sesi uji bakat untuk mencari barisan pelakon yang sesuai untuk mendukung watak dalam filem 12 Mei,”katanya.
Saiful juga berkata, filem 12 Mei juga bakal memaparkan individu-individu penting dalam hidupnya.
Habis