Kini tunang Rania Al Sadat? Sufian Suhaimi main teka-teki - Utusan Malaysia

Kini tunang Rania Al Sadat? Sufian Suhaimi main teka-teki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Seolah-olah cuba bermain teka-teki dengan golongan netizen, penyanyi, Sufian Suhaimi, 31, masih belum mengesahkan sama ada gambar dan video yang bertebaran di media sosial sejak semalam benar-benar majlis merisik dan pertunangannya dengan kekasih.

Menerusi tinjauan Utusan Malaysia di aplikasi X, Sufian dilihat meninggalkan komen penuh tanda tanya pada satu daripada video yang dikongsikan oleh netizen.

“Ye ye je Sufian,”tulisnya ringkas sekali gus mengundang pelbagai respons daripada peminat dan pengikutnya di platform X.

Menerusi komen pengikutnya di media sosial, rata-rata mereka meluahkan rasa gembira dengan ‘berita’ berkenaan selain menitip ucapan tahnia buat Sufian dan pasangannya yang dikenali dengan nama Rania Al Sadat, 23.

Bahkan, turut dilihat, ramai memuji kejelitaan tunang penyanyi yang popular dengan lagu Di Matamu dan Menggenggam Bahagia itu.

Semalam, menerusi perkongsian video di TikTok, Sufian menjadi bahan bualan ramai apabila dia didakwa menghantar rombongan merisik dan bertunang dengan kekasihnya itu.

Video tersebut memaparkan seorang wanita dipercayai ibu Sufian sedang menyarungkan cincin ke jari manis wanita berkenaan.

Kelibat Sufian turut kelihatan dalam video berkenaan apabila tampil mengambil gambar bersama wanita itu selepas upacara merisik selesai.

Sebelum ini, Sufian pernah mengakui hatinya kini sudah dimiliki oleh seorang wanita yang dikenalinya sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, penyanyi ini enggan terlalu mendedahkan identiti wanita yang dipanggil ‘Sayang’ itu kerana bimbang dia akan menjadi perhatian ramai dan membuatkan kekasihnya itu berasa tidak selesa.

Untuk rekod, Sufian pernah bertunang dengan pelakon Elfira Loy pada 2017 namun ikatan itu terlerai empat bulan kemudian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN