Kalau Wan Ismail Golok (Sabri), Angeline tak jadi kahwin, kami yang tak gembira - Issey 

Kalau Wan Ismail Golok (Sabri), Angeline tak jadi kahwin, kami yang tak gembira – Issey 

wan ismail golok
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyampai radio Gegar, Issye Fazlisham Mat Hussin, 36, tidak menolak sudah lama mengetahui hubungan cinta yang terjalin antara pengarah dan penerbit tersohor, Sabri Yunus, 62, dengan pelakon senior, Angeline Tan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, kata Issey, hubungan tersebut hanya diketahui oleh orang-orang terdekat Sabri dan Angeline sahaja dan demi menghormati kedua-dua pihak, masing-masing memilih untuk mengunci mulut.

“Sebenarnya, saya termasuk orang-orang terdekat dengan Sabri sudah lama tahu yang dia dengan Angeline. Mereka sudah lama berkawan bukan dan memang sejak dari dulu bagai teman baik sejati.

“Sejak isteri Sabri meninggal dunia pada 2007, Angeline baik dan rapat dengan semua ahli keluarga Sabri. Cuma bila dia memeluk Islam itu saya tak tahu bila. 

“Perkara ini memang tak dikecoh-kecohkan dan hanya kita-kita sahaja yang tahu,”katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Jelas Issey, dia juga terkejut apabila dihubungi Sabri sekitar dua minggu lalu yang memaklumkan mengenai hasratnya untuk bernikah dengan Angeline.

“Saya pun baru saja tahu mengenai tarikh kahwin mereka dalam dua minggu ini. Terkejut jugalah. Disebabkan itu, kita ikhtiar juga untuk datang ke Perlis bagi meraikan pasangan mempelai walaupun saya sedang sibuk dengan program Jelajah Buskin Gegar.

“Selepas selesai saja program semalam, saya terus bergerak ke Perlis bersama rakan-rakan lain termasuk Ammar Titan. Yang datang ke majlis pun kebanyakannya adalah kenalan rapat dan keluarga Sabri sahaja,”katanya.

Berkongsi lanjut, kata Issey, dia tumpang gembira dengan penyatuan dua jiwa itu selain menyifatkan pernikahan Sabri dengan Angeline adalah antara majlis yang paling dinanti-nanti mereka yang mengenali pasangan tersebut.

“Kami yang kenal Angeline semua tahu dia seorang yang sangat baik. Sabri juga memang perlukan teman hidup , bila dijodohkan dengan Angeline, ini satu perkara yang kami semua tunggu-tunggu.

“Paling penting sekali, keluarga selesa, anak-anak Sabri pun rapat dengan Angeline. Begitu juga Sabri dengan keluarga isterinya itu. Kami gembira. Kalau tak jadi nikah ini, kami tak gembira.

“Semua tahu Sabri adalah orang kreatif. Jadi dia kena ada pasangan yang betul-betul memahami dia. Angeline pun ada nilai seni kreatifnya. Bila mereka bersatu ini memang mengena sangat.

“Tak sangka bukan, dulu masa zaman sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Sabri kita tengok suka kacau-kacau Lucy, tak sangka mereka akhirnya berjodohan kini,”katanya.

Terdahulu, Sabri diberitakan selamat mendirikan rumah tangga dengan Angeline dalam satu majlis tertutup pagi tadi di Perlis.

Sabri memberitahu Angeline memeluk Islam pada 26 September lalu di Kelantan.

Hubungan mereka dikatakan kembali bertaut sejak tiga tahun lepas apabila Angeline banyak terlibat dalam pembikinan drama produksi miliknya.

Untuk rekod Sabri Yunus pernah mendirikan rumah tangga dengan Norraya Mohd Yusof dan mereka dikurniakan tiga orang cahaya matanya.

Norraya bagaimanapun meninggal dunia akibat kanser pada Ogos 2007.

Angeline pula mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan terdahulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN