Hutang berjaya dibayar, tetapi sehingga kini Shila masih tanggung keluarga - Ubai - Utusan Malaysia

Hutang berjaya dibayar, tetapi sehingga kini Shila masih tanggung keluarga – Ubai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Di sebalik kemelut yang melanda keluarga Shila Amzah, suami penyanyi tersebut, Ubai, 25, meluahkan pandangan peribadinya mengenai isterinya itu selain menyifatkan Shila seorang wanita yang kuat.

Menurut Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, Shila sudah melalui pelbagai dugaan dan cabaran getir sepanjang 33 tahun hidupnya selain mengabdikan diri bekerja demi kesejahteraan keluarga.

“Bekerja seawal usia 10 tahun, tidak pernah pegang duit, kad bank dan kad pengenalan sendiri sehingga usia 28 tahun, dia juga berkahwin atas pilihan keluarga.

“Melalui penderaan mental dan fizikal dalam tempoh tiga tahun perkahwinan, tanggung bekas suami, bercerai dan trauma. Mulakan hidup baru selepas bercerai dengan menanggung hutang keluarga ratusan ribu, hutang berjaya dibayar tetapi sehingga kini masih tanggung keluarga.

“Dia sendiri, tiada sesiapa yang membantu. Baik keluarga mahupun orang lain. Ramai yang cerca dan hina. Hanya dia tahu apa yang dia lalui sepanjang 33 tahun kehidupannya. Tiada tempat untuk berkongsi, jika dikongsi tiada siapa yang endah. Malah lebih dikerah untuk bekerja dan bekerja,”katanya.

Ubai membuat perkongsian berkenaan di platform X hari ini, sekali gus memberi gambaran bahawa dia cuba memahami siuasi dan tekanan yang kini dialami isterinya itu.

Selain itu, Ubai juga mendedahkan, Shila telah sedaya upaya berusaha memberikan yang terbaik buat keluarganya menerusi hasil titik peluh dan penat lelahnya bekerja.

“Setiap bulan pasti ada saja yang perlu dibayar dan ditunaikan. Segala hasil titik peluh, perlu dahulukan keluarganya. Tiada alasan yang boleh diberikan, sebab ‘itulah tugas seorang anak sulung, jangan jadi anak derhaka’.”

“Kesihatan mental dan fizikalnya tiada siapa yang tahu dan peduli. Trauma yang dia hadapi, perlu dilupakan dengan cara paksa kerana itu saja pilihan yang dia ada. Ya, paksa. Gagal dalam perkahwinan pertama, dia mulakan kehidupan baru di perkahwinan keduanya.

“Juga tidak mudah untuk dia. Dikurniakan rezeki mendapat insan dan keluarga baru yang mendengar kisah kehidupannya, tetapi nikmat itu hanya sebentar. Dia kehilangan ibu mertua dan adik iparnya.Seminggu sebelum bertunang, kehilangan adik ipar.

“Beberapa hari sebelum bernikah, kehilangan ibu mentua. Saya sangka kehidupan saya sudah cukup mencabar dah penuh dugaan. Ternyata ada yang lebih besar untuk orang lain. Ini lah dia kisah seorang wanita hebat yang saya kenali,”katanya.

Terdahulu, konflik keluarga Shila telah menjadi buah mulut ramai apabila seorang demi seorang adik-beradiknya mula menjaja cerita di media sosial.

Ia susulan tindakan Shila untuk menjual kediaman yang diduduki keluarganya hingga menyebabkan ahli keluarganya yang mendiami rumah berkenaan terpaksa keluar.

Sebelum itu, dalam satu siaran langsung di Tiktok, Shila ada menyebut mahu menjual kediaman berkenaan kerana mahu mencari rumah yang lebih selesa untuk keluarganya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya