KUALA LUMPUR: Didakwa kini sedang menjalin hubungan dengan pengarah terkemuka tanah air, Syamsul Yusof, wanita yang dikenali sebagai Irenee Deanna bagaimanapun tidak mendapat serangan negatif daripada warganet.
Menerusi tinjauan Utusan Malaysia di akaun Instagram dan di ruangan komen, berbanding Ira Kazar, netizen bagaimanapun dilihat seakan ‘merestui’ hubungan tersebut meskipun tahu Syamsul kini juga merupakan suami kepada anak pelakon Kazar Saisi itu.
Rata-rata pengikut di Instagram dilihat meninggalkan komen berbaur pujian terhadap Irenee dan menyifatkan dia sebagai wanita yang sangat cantik selain bekerjaya.
Malah, ada yang menganggap, Irenee adalah saingan yang setara dengan bekas isteri Syamsul, Puteri Sarah Liyana, dari segi paras rupa dan kerjaya yang hebat.
Memetik komen pengguna akaun Zaharah627, Ireene kelihatan seperti wanita yang ada kelas tersendiri dengan kerjaya yang dimiliki.
“Yang ini baru ada kelas, cari duit sendiri. Bukan tahu joget-joget dan kacau bini masa pantang. Restu sangat -sangat andai benar (gosip bercinta),”katanya.
Antara komen lain adalah seperti berikut.
“Salah satu wanita yang tak akan kena hamun dengan warganet. Warganet dah bersedia nak buat majlis kesyukuran tujuh hari tujuh malam. Tahniah semoga menjadi,” tulis pengguna akaun imieryyy.
“Biar sampai jadi ya sis, Kami sokong awak daripada belakang. Ini lah yang dikatakan sekufu. Bukan macam anak Pak Samad itu (watak lakonan Kazar dalam sebuah drama),”kata pemilik akaun ssmms_94.
“Awak, jaga diri elok-elok tahu. Risau ada akaun palsu guna nama Mastura serang awak pula. Jenuh kami nak lindungi awak. Tapi demi awak, kami (warganet) sudi berjuang,” tulis pengguna akaun lyzza_d.
“Kena ada kenduri sebelah pengantin lelaki, perempuan dan juga untuk netizen. Kami datang! Yang penting, majlis kahwin ‘high class’, bukan macam kenduri sebelum ini, nikah kat Thailand,” komen pengguna akaun _meikheiliew
Terdahulu, media tempatan melaporkan seorang selebriti lelaki terkenal didakwa sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang wanita yang juga ahli perniagaan.
Dakwaan mengatakan lagi, wanita berkenaan memiliki perusahaan permotoran selain berasal dari keluarga yang berada.
Menurut dakwaan lagi, hubungan selebriti itu dengan isterinya yang juga anak kepada pelakon veteran masih hangat diperkatakan selepas selebriti terbabit baru sahaja melalui episod perceraian menerusi perkahwinan pertama.
Susulan itu, rata-rata netizen mula memetik nama Syamsul dan mengaitkan dirinya dengan dakwaan yang tular itu. – UTUSAN