KUALA LUMPUR : Pelakon, Puteri Sarah Liyana,38, mendedahkan, dia sering menerima gangguan berbentuk provokasi daripada pengguna akaun bernama Mastura di media sosial sejak Ogos lalu.
Menurut Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, dia tidak pernah mengenali siapa pemilik akaun tersebut namun mengakui setiap kali memuat naimk sebarang gambar, membuat siaran langsung Instagram atau Tiktok ‘wanita’ berkenaan akan muncul dengan komen pelik.
“Saya perhatikan dia ini akan ada saja ruangan komen Instagram saya di setiap perkongsian yang saya buat. Saya tahu itu adalah akaun palsu. Kalau tak percaya, boleh tengok dalam perkongsian terbaharu saya pun dia ada.
“Saya tak tahu dia siapa tetapi yang saya perasan, dia selalu tinggalkan komen berbentuk provokasi dan kurang senang terhadap saya,”katanya.
Puteri Sarah berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui selepas pementasan teater Pak Pandir bersama Labu Labi Ajaib yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, semalam.
Dalam pada itu, Puteri Sarah berkata, pengikutnya turut bertindak sebagai perisik bagi menyiasat lebih mendalam berhubung pemilik sebenar akaun palsu tersebut.
Namun, firasat Puteri Sarah tidak menolak sekiranya individu tersebut adalah orang terdekat kerana dia berani menyentuh hal peribadi dan keluarganya.
“Kalau orang luar dia tak akan sentuh hal peribadi kita. Ini mungkin orang yang kenal kita. Dia kata dah baca saman saya yang dulu selain tuduh saya tak move on.
“Tapi saya berbaik kerana ada netizen yang bantu sebab mereka pun nampak sejak bulan Ogos ‘Mastura’ ini asyik hendak menghina saya, buat provokasi.
“Buat masa sekarang maklumat penuh belum tahu lagi tapi sudah dapat alamat IP (Internet Protocol) dan lokasi sahaja. Daripada situ saya sudah boleh agak sebab lokasinya di Lembah Klang,” kongsinya
Ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui pada mulanya terkesan dengan setiap komen negatif ditinggalkan wanita tersebut.
Namun, kebelakangan ini perkara itu bertukar menjadi satu hiburan buat dirinya terutama apabila menyaksikan pengikut pula yang menyerang pengguna akaun palsu tersebut.
“Mula-mula rasa sakit hati juga tapi saya rasa dia ini orang yang macam tak betul dan gunakan saya sebagai tempat lepaskan geram. Tak tahulah dia geram pada siapa.
“Saya sekarang malah rasa terhibur pula sebab setiap kali dia komen, nampak kelakar dan tak masuk akal. Jadi netizen pun serang dia balik,” katanya.