KUALA LUMPUR : Pelakon baharu, Danial Dashuki, 29, tidak menyangka mampu meraih kejayaan dan membolot trofi Pelakon Lelaki Terbaik (Teater Tradisional) sempena Anugerah Teater Malaysia 2023 yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), 7 Oktober lalu.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan Danial ‘mengalahkan’ pelakon senior, Datuk Jalaluddin Hassan yang turut tercalon dalam kategori yang sama.
Menurut Danial, dia bersyukur menerima penghargaan tersebut yang sekali gus menyaksikan industri menerima baik penglibatan pendatang baharu seperti dirinya.
“Saya tidak menjangkakan kemenangan ini apatah lagi apabila melihat diri masih lagi mencuba mencari tapak sebagai pelakon baharu dalam industri seni tanah air.
“Mereka yang tercalon dalam kategori yang sama juga merupakan pelakon-pelakon yang hebat dan menjadi rujukan saya.Saya amat bersyukur dengan anugerah yang diberikan ini.
“Walaupun berbangga dengan kejayaan ini, saya berjanji akan jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha memperbaiki mutu lakonan dan terus memberikan yang terbaik dalam apa jua yang saya lakukan,”katanya.
Danial meraih kemenangan tersebut menerusi watak Tun Mamat yang digalasnya dalam pementasan Teater Tun Mamat dan Puteri Gunung Ledang.
Selain Datuk Jalaluddin, turut tercalon dalam kategori yang sama ialah pelakon Mohd Hady Tahir, Hafizie Zulkifeli dan Murshid Md Hussain.
Malam Anugerah Teater Malaysia merupakan program penganugerahan dan penghargaan kepada karyawan seni dan petugas teater dari pelbagai genre teater seperti monolog, monodrama, teater moden, teater muzikal dan teater tradisional.
Untuk info, Danial mula berkecimpung dalam bidang lakonan sejak empat tahun lalu selain turut dikenali sebagai seorang peragawan.