KUALA LUMPUR: Pelakon utama filem Mar Rak, Kael, 34, mengakui, tidak tahu menahu mengenai penularan video di You Tube yang didakwa mengandungi sedutan adegan seks filem Mar Rak.
Menurut Kael atau nama sebenarnya, Micheal Lean Chien Er, dia tidak menolak kemungkinan wujud salah faham di kalangan netizen memandangkan dia memberi jaminan, sebagai hero filem berkenaan, Mar Rak tidak mempunyai babak sedemikian.
“Pada awalnya, saya tak tahu mengenai video tular yang dikatakan babak seks itu.Tak dinafikan, ada orang dan pihak media menghubungi saya bertanyakan mengenai adegan yang didakwa babak seks.
“Pada masa itu, saya tak beri komen lanjut kerana saya sendiri tak tahu mengenai video tersebut.Sebenarnya tak ada pun babak sebegitu.
“Itu cuma salah faham yang ditularkan. Saya tak tahu kalau wujud unsur sabotaj, tapi saya sendiri selaku pelakon dan mewakili tenaga produksi, kami mahu pertaruhkan karya seni dan dikenali dengan produk yang baik dan bukan dengan cara seperti itu,” katanya.
Kael ditemui usai sesi tayangan filem Mar Rak di Dadi Cinema Pavilion, di sini, semalam.
Selain itu, Kael yang juga peserta program Lagu Cinta Kita TV3 ini turut menyarankan agar netizen menonton terlebih dahulu sebelum membuat penilaian.
“Tak ada babak seks, tak ada adegan ranjang. Kami paparkan sedikit babak yang heroin, Shatirah Amanda yang membawa watak Rashida berjaya menggoda saya yang memegang watak Krasem.
“Sebenarnya, itu babak sihir pengasih.Saya sarankan netizen tonton dahulu sebelum melakukan sebarang penilaian.
“Jangan hanya melihat melalui sudut video viral sahaja kerana jalan cerita yang kami mahu sampaikan mempunyai maksud yang lebih mendalam,” katanya.
Filem Mar Rak terbitan Pentas Wayang Production mengisahkan percintaan Krasem dan Rashida yang terjalin secara rahsia kerana perbezaan agama dan bangsa.
Dicemburui oleh Ai Ling kerana cintanya tidak dibalas, Krasem terpaksa menolak cinta Ai Ling kerana hatinya telah dimiliki oleh Rashidah.
Ai Ling yang sangat sayang kepada Krasem berasa amat kecewa kerana cintanya ditolak mulai marah dan dendam sehingga sanggup menggunakan jampi mentera hikmat dari Mophi iaitu bomoh hantu bagi menjayakan hasratnya memiliki cinta Krasem.
Selain Kael, filem terbitan Datuk TS Jeffry ini bakal menemui penonton pada 2 November turut dibintangi oleh Shatirah Amanda, Nina KSC, Dyvianna James dan ramai lagi. – UTUSAN