SHAH ALAM : Penyanyi, Tomok, menolak andaian nakal berhubung kemungkinan bakal terwujud perseteruan antara kalangan peminat kumpulan New Boyz dan Boboy di pentas Gegar Vaganza All Stars (GV10).
Ini berikutan, persaingan GV10 telah menyaksikan penyertaan Tomok sebagai satu daripada enam peserta Hot Seats dalam pertandingan realiti popular tersebut sekaligus bakal berentap dengan vokalis Boboy, Naqiu yang turut terpilih sebagai peserta All Stars.
“Saya tak fikir akan wujud perseteruan antara kami yang pernah mencipta populariti bersama kumpulan masing-masing. Ini kerana saya percaya, baik saya mahupun Naqiu, masing-masing ada kelebihan dan cara tersendiri dalam menyampaikan nyanyian dan persembahan kami.
“Tak perlu ada perbalahan pun, termasuk dalam kalangan peminat. Apa yang penting, kami para peserta GV10 ini buat yang terbaik, bersaing secara sihat dan saling menyokong antara satu sama lain,”katanya.
Tomok berkata demikian semasa ditemui pada sidang media GV10 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),di sini, kelmarin.
Selain itu, ditanya mengenai pembabitannya dalam pertandingan berkenaan, kata Tomok, dia cuma dimakluman mengenai penyertaannya sekitar seminggu sebelum gelanggang sebenar dibuka.
“Saya cuma tahu seminggu sebelum pertandingan bermula.Jadi, memang tak ada persediaan. Saya pun sehingga ke hari ini masih rasa macam tak percaya yang ramai peminat mengundi saya untuk masuk bertanding.
“Bagaimanapun, saya gembira dan teruja dapat berada di pentas yang sama dengan barisan idola saya yang lain. Pun begitu, saya tahu ada banyak kelemahan yang perlu diperbaiki selepas ini,”katanya.
Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan, 39, merupakan pemenang tempat keempat program GV untuk musim kesembilan.
Selain Tomok, turut tersenarai dalam GV10 bagi kerusi Hot Seats ialah Suki, Niki Palikat, Liza Hanim, Zamani dan Ezad Lazim.
Barisan juri tetap terdiri daripada maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat.
Kesemua bekas juara yang bertanding bagi GV10 ialah Ayai Illusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu & Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).
Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro.