Tak apalah, kita mati pun seorang - Radhi OAG - Utusan Malaysia

Tak apalah, kita mati pun seorang – Radhi OAG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARANGKALI, ramai masih belum lupa bagaimana kecohnya pengakhiran Konsert OAG 30 Tahun Generasiku yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam, Disember lalu.

Tergumam semua orang apabila dibocorkan cerita bahawa, demi menganjurkan konsert tersebut, vokalis OAG, Radhi, sanggup berhutang RM50,000 daripada lintah darat atau ah long.

Pada masa yang sama, Radhi juga hanya mampu melihat teman seangkatannya, Qi Razali memilih jalan untuk tidak lagi bersama OAG, selepas konsert itu selesai.

Itu mungkin sebahagian daripada ‘bala’ yang mungkin kita tahu. Itu juga belum kita sentuh mengenai liku perjalanannya yang penuh kontroversi terutama apabila membabitkan kes-kes mahkamah berkaitan rumah tangga dan sebagainya.

Pun begitu, Radhi tetap mencuba untuk terus hidup. Enggan menoleh ke belakang, penyanyi berusia 46 tahun ini cekal membina semula kerjayanya meskipun mungkin ada yang bilang dia tidak mampu, tidak akan kuat.

“Atas segala apa yang berlaku, siapa kata saya tak kecewa? Saya masih menanggung hutang, belum dilangsaikan. Tetapi jangan risau, saya tak lari dan akan selesaikan.

“Lepas itu, terpalit pula dengan isu ahli OAG angkat kaki. Kecewa juga sebab kita dah buat konsert, album bersama. Terus-terang, saya rasa terduduk juga.

“Itu sebab saya ambil keputusan untuk keluar 40 hari dan memanfaatkan masa bersama jemaah tabligh di Kedah, selepas konsert tempoh hari.

“Saya perlukan ketenangan itu untuk saya fikir apa yang perlu dibuat satu persatu. Balik daripada bersama jemaah, baru saya nampak jalannya,”katanya.

Kongsi Radhi, meskipun pelbagai masalah menimpa, dia tidak pernah membuang teman-teman seperjuangan kerana menghargai jasa baik dan nilai persahabatan yang lama terjalin.

“Saya tak pernah buang mereka, tetapi mereka yang nak keluar sendiri. Ini dah terjadi dari zaman OAG bergerak bersama Ivan lagi. Seorang demi seorang nak keluar dan akhirnya yang masih utuh adalah saya.

“Sedikit pun saya tak mahu salahkan mereka. Tak apalah, saya salahkan diri sendiri kerana mungkin tak pandai uruskan kumpulan.

“Ada juga yang cadang supaya saya gerak solo saja. Kata mereka, apa beza pun jika saya ada kumpulan dengan tidak? Cuma saya masih lagi nak bawa OAG ini dengan konsep band.

“Entahlah, kalau bergerak solo atau apa pun, saya terima sajalah. Lebih kurang begitulah. Tak mengapalah, esok-esok pun kita mati seorang juga,”katanya.

Perbaiki semula ‘kerosakan’

Mengakui kini sedang berusaha untuk memperbaiki semula kerjaya dan hidupnya, Radhi bagaimanapun menyifatkan segala yang berlaku ada hikmahnya.

Namun, sebagai seorang manusia biasa, kata Radhi, dia tidak menafikan bahawa kekusutan dilanda pelbagai masalah dan kontroversi sebelum ini, telah banyak menjejaskan daya kreativitinya sebagai seorang anak seni.

“Saya tahu diri ini banyak dilanda isu dan kontroversi. Disebabkan itu, saya nak jaga dan tak mahu dah terjebak semula. Saya nak berusaha keras balik.

“Dulu, kalau nak buat lagu atau kerja pun seringkali terbatas. Asyik nak tunda-tunda kerja dan ia mengganggu kreativiti saya.

“Sekarang ini, Alhamdulillah, saya cuba ubah dan perbaiki apa kelemahan yang ada,”katanya.

Berkongsi lanjut, ujar Radhi, banyak perancangan yang telah disusun bagi membangunkan kerjaya seninya dan antaranya adalah dengan penghasilan lagu baharu yang kini telah memasuki proses rakaman.

Radhi turut sedar bahawa selepas ini mungkin ramai akan mempersoalkan bagaimana OAG akan bergerak sebagai sebuah band sedangkan anggota lama sudah tiada.

“Alhamdulillah, saya pun baru sahaja mulakan rakaman lagu baharu yang berjudul Soul Lawatt. Insya-Allah dalam tiga bulan ini ia akan dilancarkan. Ya, saya akan bergerak dengan nama kumpulan OAG.

“Cuma ia tidak akan lagi membawa maksud Old Automatic Garbage atau Orang Asia Genius. Saya beri nama OAG yang baharu yang bermaksud Only Allah Great.

“Tentang ahli, saya ada beberapa pemuzik yang kini sedang dalam tempoh ‘percubaan’. Saya pun penat juga nak lalui pengalaman anggota band keluar masuk. Kita tengok macam mana,”katanya.

Selain itu, Radhi juga teruja berkongsi bahawa lagu Soul Lawatt itu, mengikut rencananya, akan dilancarkan sempena sambutan Hari Maulidur Rasul pada 28 September ini.

Dalam pada itu, kata Radhi, dia juga masih berpegang kepada perancangan untuk meraikan album OAG 30 Tahun.

“Walau macam mana sekali pun, saya tetap nak jalankan sambutan album OAG 30 Tahun. Hujung tahun ini akan menjadi pelengkap kepada usia 30 tahun kumpulan ini. Insya-Allah, saya akan cuba buat yang terbaik,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya