KUALA LUMPUR : Pelakon, Hairul Azreen, membuat pendedahan bahawa sehingga kini, sukar untuknya membuang perasaan kecewa terhadap sikap biadab seorang selebriti tanah air biarpun kejadian tersebut telah lama berlaku.
Menurut Hairul, dia tidak menyangka selebriti tersebut tergamak menolak permintaan peminat sepertinya untuk bergambar sebentar apatah lagi selama ini, Hairul menganggapnya sebagai seorang idola.
“Kejadian itu berlaku semasa saya belum lagi bergelar seorang artis. Tetapi, ia begitu melekat di jiwa saya kerana perbuatan selebriti itu buat hati saya jadi hancur. Masa itu, saya pakai telefon bimbit model 6600.
“Bila terjumpa dengan artis itu, saya cubalah nak bergambar dengannya.Dia panggil duduk sebelah dia. Tetapi, tahu tak telefon itu kalau ambil gambar kena tunggu tiga saat baru boleh klik. Orang yang tolong ambilkan gambar itu pun tak beritahu yang gambar itu kabur.
“Jadi saya minta semula pada artis itu untuk ambil gambar sekali lagi, dia tolak saya. Ini cerita betul. Hati saya jadi hancur sebab dia adalah idola saya.
“Perasaan saya masa itu, ‘kalau aku jadi artis, siapa nak ambil gambar dengan aku, aku takkan tolak sebab kau’,” katanya tanpa menyebut nama selebriti tersebut.
Tambah Hairul, selepas dia menceburi dunia seni hiburan, selebriti terbabit cuba ada mendekati dan berbuat baik kepadanya.
Dalam pada itu, kongsi Hairul lagi, sebelum bergelar artis, dia juga seronok setiap kali berpeluang bertemu dengan artis-artis hebat seperti Apek Senario, Datuk Afdlin Shauki dan lain-lain terutama di tempat kerja lamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, apabila melihat artis sentiasa dikerumuni peminat, pemandangan seperti itu lalu membuatkan dirinya berazam untuk menceburi dunia seni.
“Saya kerja jual jam di KLIA, masa saya kerja domestik, saya nampak artis lalu nak pergi Langkawi. Saya nampak Apek Senario, nampak Afdlin Shauki.
“Jadi terdetik di hati saya, mesti seronok bukan jadi artis, semua orang pandang. Kalau jadi artis ini saya rasa seronok bila ada orang datang nak bergambar dengan saya. Masa itulah cara saya berfikir.
“Walhal, saya tahu masa itu saya tak layak. Iyalah, saya ini tak ada bakat menyanyi. Tak sangka juga akhirnya dapat masuk dunia seni, tetapi melalui cabang dunia lakonanlah,”katanya.