PETALING JAYA: Penerima Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik 2023 pusingan kedua yang dibuka permohonannya bermula Jumaat ini akan dipilih berdasarkan merit.
Pemohonan tersebut dinilai menerusi dua perkara iaitu kebolehlaksanaan permohonan serta kebolehpasaran penggiat muzik tempatan yang mampu mengembangkan ekosistem muzik negara.
Dana daripada Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) itu melibatkan sebanyak RM12 juta bagi tiga kategori dengan peluang bantuan dana mencecah nilai RM300,000.
“Dana pusingan kedua ini bakal memberikan sokongan kepada lebih ramai penggiat muzik melalui tiga kategori utama, iaitu Dana Persembahan Muzik 2.0, Dana Kebolehpasaran Domestik 2.0 dan Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa 2.0,” kata Mycreative Ventures dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Selain membangunkan modal insan kompetitif, dana ini juga dapat mewujudkan industri muzik berdaya saing untuk menghasilkan impak ekonomi yang positif.
Bagi kategori Dana Persembahan Muzik 2.0 dan Dana Kebolehpasaran Domestik 2.0, tempoh permohonan akan berakhir pada 6 November depan manakala bagi Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa 2.0, permohonan dibuka sepanjang tahun.
Susulan daripada DKD Industri Muzik 2023 pusingan pertama pada awal tahun ini, sebanyak RM10 juta telah diluluskan dan diberikan kepada 43 penerima.
Sejak diperkenalkan pada 2022, DKD Industri Muzik di bawah seliaan MyCreative ini telah membantu lebih 1,500 tenaga kerja tempatan dalam pelbagai bidang untuk bangkit semula mendepani pasca pandemik dengan peruntukan dana yang tinggi sehingga kini RM13 juta.
Program ini adalah antara inisiatif yang menjadi penggerak utama industri kreatif serta menyumbang kepada ekonomi negara secara mampan. – Utusan