TIDAK dinafikan, mungkin ada yang hanya mengenali Imran Ajmain dengan mahakaryanya, Seribu Tahun. Sehingga sekarang, kalau dengar lagu itu mesti terbayang Allahyarham Benjy kan.
Mana tidaknya, hampir satu Malaysia gila dengan drama Kerana Cintamu Saerah dulu. Cuma itu kisah 16 tahun dahulu. Hakikatnya, Imran sebenarnya mempunyai banyak karya-karya yang hebat.
Sepanjang hampir 20 tahun dalam industri, dia sememangnya sudah boleh mengadakan konsert berskala besar. Tetapi itulah, Poklip mahu bertanya apa khabar Imran sekarang?
Kalau dilihat di media sosialnya, nampak seperti dia kini berada di Singapura. Mungkin ada projek yang sedang dirancang. Mungkin juga sebenarnya ada konsert yang bakal diumumkan.
Tetapi Poklip juga sedar, mungkin ada kerisauan dalam hati Imran. Yalah, bukan senang sebenarnya untuk mengadakan konsert. Bab penaja pun boleh jadi satu hal yang sangat memeningkan.
Dulu Ziana Zain pun pernah mengadu nak cari penaja bukan satu perkara yang mudah. Maka tidak hairan jika Imran juga pening memikirkan kalau dia mahu mula mencari penaja.
Cuma dalam keterujaan, Poklip ada kerisauan juga dengan kemungkinan Imran sebenarnya merajuk dengan industri seni kita? Walaupun dia bukan warganegara, tetapi kerjayanya memuncak bermula di sini.
Malah dia juga punya kelompok peminat tersendiri yang cukup mengagumi karya dan suaranya. Tetapi mungkin tidak cukup ‘besar’ untuk meyakinkan dia bergerak dengan skala besar.
Namun harapnya, ada satu perancangan yang lebih konkrit berhubung kerjaya penyanyi kelahiran Singapura itu selepas ini. Mungkin album atau single yang mencengkam? Mana tahu kan!