LAS VEGAS: Penyanyi pop terkenal, Adele, 35, mencetuskan spekulasi ramai apabila memberi gambaran seolah-olah sudah berkahwin dengan kekasihnya, Rich Paul.
Berita itu tersebar apabila Adele memanggil kekasihnya dengan panggilan ‘suami’ ketika seorang peminat menyatakan hasrat ingin mengahwininya semasa konsert di Las Vegas pada hujung minggu lalu.
Menerusi sebuah video yang tular, seorang peminat mengajak penyanyi Easy On Me itu berkahwin dengannya.
“Kamu tidak boleh berkahwin dengan saya. Saya heteroseksual, sayang. Suami saya juga ada di sini, malam ini,” kata Adele.
“Tak mahu cuba dulu?” kata peminat tersebut.
“Saya tidak mahu cuba. Saya sedang bersama Rich. Gila,” jawab Adele dengan nada mengusik.
Respons Adele itu kemudian mencetuskan spekulasi bahawa penyanyi itu sudah berkahwin dengan kekasihnya Rich Paul selepas dua tahun dilamun cinta.
Difahamkan, pemenang Anugerah Grammy itu juga telah membeli sebuah rumah bersama-sama Rich dan berpindah ke rumah berkenaan pada awal tahun 2022.
Pada Februari 2022, Adele mencuri perhatian apabila menyarungkan sebuah cincin berlian ketika sesi karpet merah Anugerah Brit.
Namun begitu, penyanyi itu enggan mengulas mengenai perhubungannya ketika ditanya wartawan ketika itu.