KOTA KINABALU : Kumpulan kelahiran Indonesia, Armada Band, memilih Kota Kinabalu, Sabah sebagai lokasi bagi merealisasikan hasrat untuk mengadakan konsert pertama mereka di Malaysia yang bakal berlangsung pada 4 November ini.
Menurut pengurus projek, Harris Baba, penganjuran konsert ini merupakan projek konsert sulungnya di bawah syarikat Jeeharris Corporation dan akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah bermula pukul 8 malam.
Harris berkata, sebagai penganjur, mereka memilih Armada kerana kumpulan yang dianggotai oleh Rizal Adi,Meri Yandi dan Andika Maihendra itu mempunyai banyak lagu-lagu popular yang dikenali ramai di Sabah.
“Kami berharap mendapat sokongan yang menggalakkan daripada peminat-peminat Armada Band di Sabah dan sekaligus dapat memeriahkan lagi aktiviti pelancongan dan mengalakkan lebih banyak persembahan konsert di Sabah.
“Kami juga akan menjadikan konsert ini sebagai satu tarikan untuk penduduk dari Labuan, Sarawak dan Brunei untuk datang menyaksikan bersama persembahan Armada band secara live,”katanya.
Menurut Harris,pihaknya juga sedang meneliti beberapa nama penyanyi tempatan Sabah untuk dijemput mengadakan persembahan pembukaan bakal pada konsert ini.
Tentang perancangan lanjut mengenai syarikatnya, Harris Baba berkata, mereka akan membawakan lebih ramai lagi artis luar negara untuk mengadakan persembahan di Sabah.
Dalam pada itu mereka kini dalam perbincangan untuk membawakan band lain untuk mengadakan persembahan pada Januari 2024.
Tiket telah mula dijual di www.myticket.asia pada 24 Julai lalu pada harga bermula RM129 sehingga RM799 (seating and meet & greet).
Untuk informasi terkini anda juga boleh ke Instagram dan Facebook @jeeharriscorporation