AIFFA 2023, Penggiat filem ASEAN mula berkampung di Sarawak - Utusan Malaysia

AIFFA 2023, Penggiat filem ASEAN mula berkampung di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING : Penggiat filem dari 10 buah negara serata ASEAN mula berkampung di Sarawak sempena penganjuran Festival Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA 2023) yang telah pun membuka tirainya semalam.

Menurut Pengarah festival tersebut, Livan Tajang, selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Ogos ini, AIFFA 2023 menyaksikan penganjurannya buat edisi keenam sejak 2013 bagi meraikan pembikin dan peminat filem.

“Sambutan acara tahunan ini unik dan kita berharap dapat mengangkat lebih banyak karya filem ke peringkat lebih tinggi.Secara peribadi, saya teruja dengan kecemerlangan dan peningkatan ke semua filem yang telah disenarai pendek untuk menyertai festival ini.

“Keupayaan filem-filem ini mampu meneroka tema dengan nuansa dan keaslian dalam penghasilan sesuatu karya yang berkualiti,”katanya.

Terdahulu, pembukaan festival ini dirasmikan oleh Menteri di Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Turut hadir, Pengurus Eksekutif AIFFA, Shahriman Sidek, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak I, YB Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Setiausaha Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Sherrina Hussaini dan Pengarah Eksekutif AIFFA, Jaffri Amin Osman.

Hadir sama, Ketua juri U-Wei Shaari dengan juri terkemuka lain seperti Ihsan Nurullah Kabil dari Turki, Viva Westi dari Indonesia, Pham Thi Hong Anh dari Vietnam dan Effendee Mazlan, dari Malaysia.

Sementara itu, Abdul Karim dalam ucapannya mengalu-alukan lebih banyak penglibatan penyertaan dari seluruh negara-negara Asean dan penggiat profesional dalam industri perfileman.

“AIFFA merupakan sebuah festival filem yang meraikan semua penggiat industri perfileman untuk diiktiraf dan dihargai agar kita mampu sebaris dengan filem-filem di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, ini juga peluang untuk Kerajaan Negeri Sarawak mempromosi pelancongan negara ini yang terkenal dengan hutan hujan yang subur, tradisi yang meriah dan layanan mesra.

“Sarawak adalah lokasi yang unik untuk pengalaman mengasyikkan yang meraikan bukan sahaja pawagam yang cemerlang tetapi juga permaidani budaya yang kaya di rantau ASEAN terutamanya sempena sambutan ulang tahun ke-60 Sarawak” katanya.
Pada malam pembukaan tersebut, penganjur turut mengumumkan calon-calon bagi kategori Best Screenplay, Best Film Editing, Best Director of Cinematography, Best Supporting Actress, Best Actress, Best Supporting Actor, Best Actor, Best Director dan Best Film.

Sementara itu, festival AIFFA menyaksikan penyertaan 120 filem dari negara Asean dan 34 daripadanya dari Malaysia dengan kesemua filem-filem tersebut dihasilkan dari tahun 2020 hingga 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN