Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia gabung artis Malaysia-Indonesia - Utusan Malaysia

Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia gabung artis Malaysia-Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Menanam keyakinan bahawa genre dangdut masih diminati ramai, Mission Sight Sdn Bhd bakal menyatukan bintang dangdut popular Indonesia dan Malaysia di satu pentas menerusi penganjuran Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia pada 12 Ogos ini.

Memilih Pusat Ekuastrian Bukit Kiara sebagai lokasi, konsert yang bakal berlangsung selama dua jam itu menampilkan Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek2 dan Rhena Morena dari Indonesia manakala artis tempatan yang terlibat adalah Ani Maiyuni dan Baby Shima.

Turut diundang sebagai tetamu VIP pada malam konsert itu nanti ialah pelopor genre dangdut tanah air Mas Idayu, Amelina dan Ramlah Ram.

Pengarah Projek Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia yang mewakili Mission Sight, Riezman Khuzaimi berkata, konsert ini membawa misi untuk mengintegrasikan dangdut ke dalam masyarakat moden dan industri muzik.

“Kami mahu memperkenalkan semula genre dangdut ke dalam pasaran semasa dan pada masa akan datang. Dangdut tidak sepatutnya dijadikan muzik untuk orang-orang tertentu sahaja tetapi boleh dinikmati oleh semua.

“Lihat sahaja pada zaman kegemilangan Amelina, Mas Idayu dan Ramlah Ram, lagu-lagu mereka masih dinikmati dan diterima semua,” katanya.

Tambah Riezman lagi, Mission Sight juga mahu memperkenalkan bakat dan pelapis baru genre dangdut.

“Di negara kita tidak ramai artis berkembang dengan genre ini (dangdut). Jadi, kami gabungkan bintang dari kedua-dua negara, Indonesia dan Malaysia untuk menggegarkan kembali industri dengan muzik dan lagu-lagu dangdut.

“Dalam pada itu, kami berasakan dengan penganjuran konsert ini nanti dapat menarik peminat-peminat dari negara serumpun seperti Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei untuk menonton artis kegemaran mereka membuat persembahan.

“Secara tidak langsung acara ini dapat mengembangkan industri pelancongan negara juga dan kami beradakan ia cara pemasaran baharu untuk industri pelancongan dan muzik,” katanya.

Dalam pada itu kata pelakon, pengarah serta penerbit berusia 53 tahun itu, pihaknya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk dikecam dan acara tersebut dipolitikkan sesetengah pihak.

“Ya, tidak dinafikan kebarangkalian itu berlaku dan mungkin akan ada yang mendesak agar konsert ini dihentikan.Kami sebagai penganjur sudah memberi garis panduan kepada para artis dan mereka faham dan bersetuju untuk mematuhinya.

“Saya rasa tidak adil jika peniant dihalang untuk berhibur kerana negara kita, negara demokrasi,”katanya.

Mengulas lanjut, Riezman berkata dia terpanggil untuk menganjurkan konsert selepas melihat banyak konsert yang melibatkan artis tempatan dan antarabangsa diadakan selepas pasca pandemik Covid-19.

Ditanya mengenai karier dalam lakonan, Riezman berkata setakat ini dia mahu memberikan fokus kepada konsert terlebih dahulu.

“Buat masa ini saya mahu fokus kepada konsert ini dahulu. Sekarang saya agak sibuk berulang alik dari Malaysia ke Jakarta untuk konsert ini.

“Ketika ini saya tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk menerbitkan sebarang drama atau filem daripada produksi saya,” katanya.

Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia bakal menampilkan selebriti versatil Malaysia, Didie Alias sebagai hos bersama Shandrra Rose dari Indonesia.

Penjualan tiket di zom duduk bermula dengan harga di RM658 (VIP), RM598 (Power), RM458 (Zon A), RM398 (Zon B).Sementara itu di zon berdiri pula RM358 (Zon C), RM258 (Zon D), RM158 (Zon E dan F).

Pembelian tiket boleh dibuat di www.ticket2u.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya