Wanita perlu bekerja dan berdikari, tak usah harap lelaki - Rozita Che Wan - Utusan Malaysia

Wanita perlu bekerja dan berdikari, tak usah harap lelaki – Rozita Che Wan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon dan usahawan selebriti, Rozita Che Wan, menggalakkan kaum wanita untuk berkerja dan mencari sumber pendapatan sendiri agar masa depan lebih terjamin.

Menurut pelakon yang mesra disapa sebagai Che Ta ini, perkara itu penting kerana seandainya berlaku sesuatu terhadap rumah tangga sama ada kematian atau ditinggal suami, kaum wanita lebih bersedia untuk berdepan dengan ujian tersebut.

“Ini termasuklah bila wanita itu terjebak dengan situasi keganasan rumah tangga dan mempunyai suami jenis kaki pukul. Orang perempuan jangan jadi bodoh. Sekali lelaki naik tangan, kita angkat kaki keluar dari situasi toksik begitu.

“Buat laporan polis dan pemeriksaan di hospital, itu antaranya. Tetapi, paling penting, apa pun yang terjadi, orang perempuan kena ada kerja, cari duit sendiri dan jangan bergantung harap pada lelaki,”katanya.

Che Ta berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Set Kuku Letups Che Ta di bawah jenama Mazaville yang diasaskan oleh Anas Zahrin, di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, majlis turut dihadiri artis-artis tanah air seperti Shiha Zikir, Datin Alyah, Indah Ruhaila, Bob Yusof, Hazama, Irfan Haris dan Imran Ajmain yang menghiburkan tetamu menerusi persembahan masing-masing.

Selain itu, Che Ta meluahkan rasa tidak setuju jika wanita mudah memberi kemaafan dan peluang kepada lelaki yang sudah melakukan kekerasan terhadap mereka.

“Tak usahlah percaya jika dia pujuk cakap minta maaf dan tidak akan buat lagi. Itu semua bohong. Kena ingat, awak kahwin dengan orang sama, bila dia dah berlaku kasar, dia tidak akan berubah.

“Sedangkan kita pun tidak berubah, jangan harap dia pun akan berubah. Jangan bagi peluang kedua kepadanya kerana dia masih orang yang sama tidak akan berubah,” katanya.

Dalam pada itu, Che Ta yang terkenal menerusi siri komedi Kiah Pekasam turut memberi tips kecantikan buat kaum wanita yang ingin menjaga penampilan diri.

“Pokok pangkalnya keyakinan diri. Kalau cantik pun tidak bermakna ia mampu jadi sebuah jaminan yang rumah tangga kita akan kekal selamanya. Hidup kita dan apa yang kita lakukan ‘there is no warranty’ (tiada jaminan).

“Samalah dengan perkahwinan, kebahagiaan dan kecantikan pada hari ini belum tentu akan kekal. Lelaki mungkin tertarik dengan kecantikan kita tetapi dia akan bertahan dengan kebaikan. Macam mana kita jaga makan minumnya, insya-Allah rasa sayang tidak akan pudar,” katanya.

Baru-baru ini, isu keganasan rumah tangga menjadi bualan hangat dalam media sosial lebih-lebih lagi soal pihak ketiga yang mengganggu perhubungan beberapa selebriti tanah air.

Antara rumah tangga selebriti Malaysia yang menjadi tumpuan hangat ketika ini ialah Hafidz Roshdi, Puteri Sarah Liyana dengan Syamsul Yusof dan Bellah Astillah bersama Aliff Aziz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya