Penyanyi Rusia, Amirchik mahu cipta nama di Malaysia - Utusan Malaysia

Penyanyi Rusia, Amirchik mahu cipta nama di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sekitar pertengahan tahun lalu, penyanyi kelahiran Rusia, Amirchik secara tidak sengaja menerima tempias populariti di negara ini setelah lagunya yang berjudul Eta Lyubov mendapat perhatian ramai pendengar.

Segalanya berpunca di platform Tiktok bila mana lagu tersebut kerap kali menjadi pilihan pengguna untuk dijadikan latar belakang rakaman video termasuk parodi lirik sehingga turut menjadi ‘hit’ di saluran Youtube.

Bagaimanapun, apa yang menjadikan lagu Eta Lyubov menjadi satu fenomena luar biasa di negara ini adalah menerusi parodi lirik lagunya yang kedengaran lucu apabila sengaja dialih bahasakan secara semberono.

Rata-rata pendengar ternyata meminati lagu bahasa asing tersebut kerana melodinya yang kedengaran ‘catchy’ dan segar.

Disebabkan itu, ada kalangan pendengar menjadikannya sebuah lagu parodi dalam versi bahasa Malaysia meskipun antara lirik itu seperti tidak mengena dan tidak ada makna.

Mengambil tenaga positif dari kalangan pendengar yang menggemari lagu tersebut, ia kemudiannya telah mencetuskan idea buat penyanyi ini untuk menghasilkan lagu yang sama tetapi dalam versi bahasa Malaysia dengan makna yang tepat.

Diberi judul Cinta Ini, Amirchik juga terharu apabila menerima sambutan yang baik di Indonesia yang mana rata-ratanya turut menyukai versi bahasa Melayu untuk lagu tersebut.

Sebelum ini, Amirchik turut memuatkan terjemahan lirik lagu itu dalam video muzik rasminya untuk mendekati peminatnya di rantau ini.

Keputusan untuk menterjemahkan lirik lagu itu dibuat selepas ia diparodikan banyak pihak hingga mencetuskan kekeliruan terhadap makna sebenar lagu nyanyiannya itu.

Berpeluang menjejakkan kaki ke Malaysia, penyanyi berusia 19 tahun ini tidak menolak, timbul rasa teruja untuk meneroka industri muzik dan hiburan tempatan demi sebuah persaingan yang sihat.

Amirchik malah yakin, percaturannya untuk berkongsi rasa dan jiwa muzik bersama peminat dan pendengar di negara ini mampu membuka peluang yang lebih besar untuknya mencipta nama sebagai pendatang baharu sekali gus mencipta nama di sini.

“Sebenarnya, saya sendiri terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh pendengar di negara ini menerusi lagu Eta Lyubov. Paling saya tak sangka, kemudiannya saya berupaya meraih kelompok peminat tersendiri di sini meskipun mungkin tidak ada yang benar-benar faham akan bahasa ibunda saya menerusi lagu itu.

“Namun, itu menunjukkan betapa muzik itu boleh melahirkan sebuah magis yang membolehkan semua pencintanya menyatu dan saling memahami. 

“Ia sekali gus mampu mengenepikan soal jurang bahasa kerana apa yang penting ialah ‘rasa’ yang disampaikan menerusi sesebuah lagu itu,”katanya.

Pun begitu, ditanya adakah dia mengalami kesukaran untuk menyanyi dalam bahasa Melayu menerusi lagu Cinta Ini dan Ku Tak Percaya, Amirchik mengangguk tanda setuju.

“Sebenarnya, agak susah juga untuk saya sebut tetapi banyak lakukan latihan. Lirik lagu Cinta Ini itu dibuat oleh komposer dan penyanyi di sini, Mark Adam. Dia banyak bantu saya untuk sebut dengan betul.

“Tetapi jika dibandingkan, bahasa Korea lebih sukar. Saya sendiri pun masih tidak begitu fasih berbahasa Inggeris dan sedang belajar memperbaikinya. Jadi untuk belajar bahasa Melayu, saya mungkin perlu lakukannya perlahan-lahan.

“Sekarang pun saya cuma tahu sebut beberapa patah perkataan sahaja,”katanya.

Dalam pada itu, Amirchik yang berkunjung ke Malaysia sejak beberapa hari lalu turut sempat menjayakan program ‘meet and greet’ secara santai bersama peminatnya di sini.

Selain itu, penyanyi ini juga bakal tampil dengan sebuah kejutan buat peminat di nusantara mengenai perancangan untuk menghasilkan sebuah lagu baharu.

Selain lagu Eta Lyubov, Amirchik juga pernah tampil menghasilkan lagu lain seperti Still With You, Love Is, Lifelines dan What If.

Untuk info, Amirchik juga akan terlibat mengadakan persembahan sempena Hoorrey X Fest Raya yang akan diadakan pada 19 hingga 21 April ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Hoorrey X Fest Raya merupakan sebuah festival membeli-belah terbesar raya yang turut menghimpunkan lebih 100 usahawan selebriti popular tanah air.

Antara rakan artis yang terlibat termasuk Lann A To Z, Wan Scoin, Jaafar Onn, Ayie Floor 88, Amer Forteen, Elyana, Aidil Aziz, Risteena, Izzue Islam, Rina Eva, Anne Abdullah, Farah Wahida, Car Farish, Ayu Damit, Soffi Jikan, Rahmat Mega, Sasha Aziz dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya