Kerispatih di Malaysia lebih hebat - Utusan Malaysia

Kerispatih di Malaysia lebih hebat

Konsert Kerispatih bersama Sammy Simorangkir di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini. UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah mencipta lagu-lagu yang masih boleh dihafal dan liriknya masih segar dalam ingatan peminat.
Ternyata, tuah buat kumpulan pop dari Indonesia, Kerispatih kerana seleksi lagu mereka kekal malar segar.
Ditubuhkan sejak 2003, persembahan kumpulan yang dianggotai lima ahli iaitu Badai selaku keyboard, Anton (dram), Arief (gitaris), Andika (bass) dan Fandy (vokalis) ini masih berbisa.
Kerispatih yang menganjurkan konsert di Zepp Kuala Lumpur, Jumaat lalu, turut mengundang bekas vokalisnya, Sammy Simorangkir.
Menurut Sammy, dia kagum dengan peminat di negara ini yang masih setia menyokong perjalanan kumpulan itu. Berbanding di Indonesia, kata Sammy, mereka lebih mendapat sambutan di negara ini disebabkan kemunculan artis-artis baharu di Indonesia yang kian rancak.
Disebabkan itu, katanya, kelompok pendengar di negara asal mereka berpecah dan menimbulkan persaingan antara kumpulan pemuzik lain.
“Saya bangga dengan pendengar di Malaysia sebab masih minta lagu-lagu lama melalui kiriman mesej di media sosial.
“Sedangkan ada lagu yang sudah berusia 15 tahun seperti album pertama, Kejujuran Hati,” katanya semasa sidang akhbar sebelum konsert Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir.
Kumpulan yang pernah mengeluarkan lima album dengan tiga judul daripadanya meraih jualan platinum berjaya menarik kehadiran lebih 2,000 penonton.
Dari awal persembahan, sebanyak 20 judul lagu dinyanyikan bersama peminat tanpa henti selama dua jam konsert. Setiap lagu dan lirik yang terkandung dalam Pernah Terluka, Mengenangmu, Akhir Penantian dan Tapi Bukan Aku membuai nostalgia peminat.

Gambar Saddam Yussof

ANUAR ZAIN HADIR
Sammy dan Kerispatih membuat kejutan di hujung persembahan dengan memilih mendendangkan lagu berjudul Lelaki ini nyanyian asal Anuar Zain.
Apatah lagi, dengan kehadiran Anuar yang duduk di hadapan pentas membuatkan persembahan mereka lebih bermakna.
Kata Sammy, dia sangat terhutang budi dengan penyanyi balada itu, ketika dia bersama kumpulan muziknya datang ke Malaysia belasan tahun lalu.
“Kami hanyalah band baharu yang terbang ke Kuala Lumpur untuk menerima penghargaan Anugerah Era masa itu. Ada karpet merah dengan semua tetamu pakai busana yang cantik, saya pula pakai seluar jeans koyak.
“Datang seorang lelaki memperkenalkan diri kepada kami di belakang pentas dan dia adalah Anuar Zain. Kami bukan siapa-siapa waktu itu dan dia berikan album kepada kami ketika itu,” katanya.
Selain komposisi muzik yang mantap dan pencahayaan bagus, konsert ini mencatatkan sejarah apabila kesemua tiket habis terjual dalam tempoh tiga hari. – Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya