Herman Tino serik cakap tentang royalti, S. Atan kecewa - Utusan Malaysia

Herman Tino serik cakap tentang royalti, S. Atan kecewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMELUT isu kutipan dan bayaran royalti hak cipta lagu penggiat industri muzik yang belum berkesudahan menimbulkan pelbagai persoalan yang masih berlegar sehingga sekarang.
Komposer terkenal, Hashim Said atau S. Atan meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan pihak bertanggungjawab melaksanakan agihan royalti kepada penggiat seni tanah air. Menjadi antara yang terkesan dengan masalah tersebut, Hashim mengakui buntu dan serik haknya sebagai pencipta lagu terus didiamkan.
“Isu ini saya suarakan sejak tiga tahun lepas, namun sampai hari ini saya tidak menerima sebarang bayaran royalti. Sedangkan, lagu-lagu saya masih diputarkan di radio dan televisyen. Contoh, lagu Indahnya Beraya Di Desa nyanyian Azlina Aziz yang diputarkan ketika Hari Raya Aidilfitri setiap tahun.
“Tahun lalu sahaja saya patut terima bayaran royalti lebih RM1,000. Itupun tidak dijelaskan. Saya malu dan sangat kecewa, mustahil jumlah yang begitu sedikit pun mereka tak dapat bayar.
“Masalah ini berulang kali saya suarakan di media arus perdana dan digital. Ia masih gagal diselesaikan dan terus dipandang sepi,” luahnya.
Kata Hashim lagi, dia berputus asa dan hanya berserah kepada ketentuan Tuhan tentang bayaran royaltinya yang masih didiamkan sehingga hari ini.
“Tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Semua kita dah buat. Siapa lagi yang dapat membantu. Saya bukan saja-saja meluahkan. Ini adalah hak saya sebagai pencipta lagu. Begitu juga pencipta (lagu) lain, berdepan masalah sama.
“Saya memang sedih. Sekarang saya hanya mampu berserah kepada Allah SWT. Kalau ada, adalah,” ujarnya.

Saya halalkan kalau ada penipuan
– Herman Tino
Penyanyi, Herman Tino, 68, sudah serik membincangkan tentang agihan royalti yang patut diterima sebagai seorang artis daripada Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) yang sudah dibubarkan.
Tegasnya, sekiranya wujud unsur penipuan berkaitan royalti, dia sudah sampai tahap untuk menghalalkan segala hak yang patut menjadi miliknya.
“Sebenarnya saya sudah malas hendak bercakap tentang royalti lagi sebab golongan pandai dan ‘memandai-mandai’ dalam industri ini pun wujud. Saya halalkan hak saya kalau betul ada penipuan berlaku.
“Apa yang hendak direbutkan pun saya tak faham sampai akhirnya melibatkan kerugian pada ramai artis. Lagi baik saya petik buah kelapa di kampung kerana hidup lebih tenteram,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Herman atau nama sebenarnya Masrun Tamisi memberitahu, dia pernah mendapat royalti kira-kira RM5,000 daripada PRISM sepanjang bergelar anak seni. Namun, katanya, bayaran yang diterima itu sudah terlalu lama iaitu sejak awal pembabitan dirinya dalam bidang muzik.
Disebabkan itu, Herman mencadangkan golongan bukan artis yang dilantik menerajui mana-mana badan yang mengagihkan royalti kepada pemain industri, menjalankan tanggungjawabnya memberi kepada mereka yang berhak menerima bayaran itu.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana masih menerima royalti daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) berdasarkan peranannya sebagai komposer, serta siaran lagu yang diputarkan di radio, televisyen dan pusat karaoke. – UTUSAN MALAYSIA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya