SEJAK kemunculan penyanyi hip hop, Yonnyboii beberapa tahun lalu, bintang berbakat besar ini mencuri tumpuan dalam industri muzik tempatan.
Bijak mengambil kesempatan atas setiap peluang yang diberikan, Yonnyboii terus mengorak langkah dan terbaharu, muncul dengan single Sengkek.
Dihasilkan bersama rakan seperjuangan dari Singapura, Alyph, Sengkek merupakan karya yang mampu memberikan sedikit kelainan dalam dunia hip hop serantau.
Kata Yonnyboii, Sengkek tidak semestinya membawa konotasi tidak mempunyai duit, malah ia juga menggambarkan ketidakcukupan dalam mengejar impian.
“Dulu, saya pernah bekerja di restoran makanan segera dan pernah rasa sengkek sebab tidak cukup duit. Pada masa sama, kita juga mempunyai impian yang ingin dicapai,” katanya.
Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata, lagu itu ditulis ketika dia berdepan situasi sukar dan pernah dimuat naik di aplikasi TikTok, beberapa tahun lalu.
Lagu itu katanya, menceritakan perjalanan individu mengejar cita-cita dalam serba kekurangan, namun berjaya menempuh pelbagai cabaran untuk sampai ke tahap selesa.
“Selepas menerima pelbagai respons positif, saya ambil keputusan untuk menyiapkan lagu itu dan menjadikannya sebagai projek terbaharu,” katanya.
TERUJA
Yonnyboii berkata, pada mulanya dia menghantar demo lagu tersebut kepada SonaOne untuk proses susunan dan penerbitan lagu.
Ketika proses tersebut, katanya, Alyph kebetulan datang ke studio dan terus menyatakan hasrat untuk bersama menyumbang tenaga selepas kali pertama mendengarnya.
“Saya berbesar hati kerana memang impian untuk bekerjasama dengan Alyph. Kalau ikutkan, saya pernah mesej Alyph secara peribadi di media sosial ketika zaman belum masuk industri lagi.
“Saya masih ingat lagi ada bertanya soalan bagaimana untuk buat lagu dan teringin masuk studio,” katanya.
Sengkek disusun oleh penyanyi hip hop terkenal, SonaOne, manakala lirik ditulis bersama Yonnyboii dan Alyph.
Sonaone yang merupakan pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-29 juga bertindak sebagai penerbit lagu bersama Alyph.
KARYA JUJUR
Alyph pula mengaku, dia melihat potensi besar karya ini sejak kali pertama mendengar karya itu.
Penyanyi lagu Swipe itu memberitahu, dia meletakkan dirinya sebagai pendengar biasa dan bukan sebagai komposer atau penyanyi.
“Saya dapat rasa keihlasan dan kejujuran dalam suara Yonnyboii ketika mula-mula mendengar demo ini di studio SonaOne.
“Saat itu, saya rasa mampu memasukkan sesuatu dan memberikan nafas baharu untuk lagu tersebut,” katanya.
Gara-gara kesibukan jadual, kedua-dua penyanyi ini terpaksa melakukan proses rakaman berasingan di rumah masing-masing.
Lagu yang mengambil masa sekitar seminggu untuk disiapkan ini turut hadir dengan sebuah video muzik menarik.
“Saya gembira Alyph dapat bersama menyertai saya untuk proses penggambaran video muzik. Terdapat dua babak utama, namun semuanya dirakamkan di satu lokasi di Kuala Lumpur.
“Proses penggambaran mengambil masa sekitar enam hingga lapan jam untuk disiapkan dan kami terpaksa melakukan penggambaran di dalam bangunan kerana cuaca buruk ketika itu,” jelasnya.
Pewaris legasi muzik hip hop ini meletakkan harapan besar agar lagu ini diterima baik dan memberi inspirasi kepada pendengar dalam mengejar impian masing-masing.