PENERBIT dan pengarah, Michael Ang, percaya stesen TV memiliki strategi tersendiri dalam menghasilkan sesebuah program, malah rating tinggi adalah sasaran.
Pun begitu, kata Michael, ia tidak bermaksud stesen TV mengetepikan bakat apabila membuka ruang kepada individu viral dan mempunyai ramai pengikut di media sosial.
“Kita tidak boleh nafikan, penonton mahu menonton sesuatu yang viral dan stesen TV pula perlukan rating.
“Untuk tarik rating, perlu ada elemen viral. Tetapi, itu tidak bermakna stesen TV meminggirkan artis berbakat,” katanya.
Tambah Michael, dia memahami apabila segelintir artis meluahkan kekecewaan, malah terkilan kerana peluang mereka mempromosikan bakat seolah-olah terbatas.
“Tentulah terkilan sebab mereka berusaha keras mengasah bakat dan bersungguh-sungguh mahu menempatkan diri dalam industri seni.
“Namun, sebaliknya mereka yang viral pula diberikan tumpuan. Apabila tiada orang, baru mereka akan dipanggil.
“Saya tahu, situasi itu sangat tidak adil. Bayangkan, saya yang tidak reti menyanyi , tetapi disebabkan viral dapat masuk TV untuk promosi. Memang tidak adil buat anak seni sebenar,” katanya.
Michael bagaimanapun, berharap artis berbakat tidak putus asa dan terus bekerja keras untuk memajukan industri hiburan.