KUALA LUMPUR: Masih berbaki beberapa jam sebelum pentas Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) yang membawakan tema Dimensi Muzik bakal membuka tirai, menyaksikan 12 lagu terbaik berentap bagi merebut gelaran juara.
Bakal dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil bermula pukul 9 malam ini menerusi TV3, kehangatan acara tahunan berprestij itu semakin dirasai apabila pelbagai ramalan dibuat peminat dan pengikut setia perkembangan industri muzik.
Berdasarkan tinjauan Mingguan Malaysia, antara yang bakal memberikan persaingan sengit bagi merebut gelaran juara adalah pasangan duet, Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi yang mempertaruhkan lagu Debu.
Lagu ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam dan Acap Salim itu dikatakan memiliki kekuatan tersendiri, selain kehebatan aura Dayang yang pernah merangkul trofi AJL 31 serta dinobatkan pemenang kategori Vokal Terbaik selama tiga tahun berturut-turut.
Bakal memberikan persaingan sengit lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos yang dicipta penyanyi tersebut bersama Romeo, Tam Cobain dan Arwis, manakala lirik ilham bersama Alif, Shah Shamshiri dan Romeo.
Sementara itu, keampuhan vokal Ernie Zakri yang menyandarkan harapan pada lagu Korban juga dilihat antara peserta yang tidak akan pulang dengan tangan kosong.
Bagaimanapun, kehadiran penyanyi Aina Abdul mampu memberi saingan sengit buat Ernie memandangkan penyanyi berusia 29 tahun itu juga memiliki karisma tersendiri, selain diangkat sebagai pemenang Vokal Terbaik, AJL 36.
Aina yang membawakan lagu Terus Hidup juga dijangka kembali mencuri perhatian menerusi penampilannya yang sentiasa membawa kejutan kepada peminat.
AJL 37 turut menyaksikan persaingan daripada penyanyi seperti Marsha Milan Londoh yang mempertaruhkan Kembali Terang; Iman Troye (Nang); Shila Amzah dan Liza Hanim (Bahagiakan Dia); Joe Flizzow dan Sona One (Satu Malam Di Temasek).
Turut berentap bagi memburu gelaran juara adalah Noki dan MK (Payung Pelangi); Khai Bahar (Sengsara); Shiha Zikir (Irama) dan Naim Daniel (Mainan).
Bagi menghangatkan dan memeriahkan lagi perjalanan AJL 37, dua pengacara sensasi, Sherry Al Hadad dan Jihan Muse bakal bergabung mengendalikan acara tahunan yang sentiasa dinanti pencinta muzik.