PEJAM celik sudah 40 tahun pelakon senior, Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah berkecimpung dalam industri seni.
Karakternya yang bersahaja dan berseloroh membuatkan lakonannya melekat serta mendapat tempat di hati penggemar drama dan filem Melayu.
Masakan tidak, Mak Jah yang berasal dari Kampung Sungai Jai, Beranang, Selangor sudah membintangi lebih 100 drama dan puluhan filem seperti Mami Jarum, Lady Boss, Hingga Hujung Nyawa dan Jutawan Fakir.
Namanya turut dikenali menerusi drama televisyen seperti Fatimah Juling, Halimah Jongang dan Si Capik.
Ibu tiga anak ini mula aktif berlakon pada 1987 menerusi drama Sri Panggung terbitan Serangkai Filem bersama pelakon seperti Jalil Hamid.
Siapa sangka, bermula sebagai jurusolek yang banyak menata rias wajah selebriti akhirnya melekat tempias populariti tersebut.
Ketika itu, umurnya baru mencecah 20-an, tetapi hasil solekannya mendapat pujian pengarah dan kepercayaan produksi televisyen.
“Asalnya bermula sebagai jurusolek, kadang-kadang jaga kostum atau konti. Bila ada pelakon tidak datang, pengarah minta saya gantikan watak mereka.
“Sejak itu, mereka mula perasan saya mempunyai karakter dan mampu membawa watak dengan baik.
“Saya juga tahu serba sedikit tentang kamera, pencahayaan dan pengarah yakin untuk ambil saya berlakon,” katanya.
Bercerita lanjut kerjaya sebagai jurusolek, kata Mak Jah, dia berpeluang menjalani kursus di Jepun semasa berkhidmat sambilan di RTM.
Dia dibawa oleh Tan Sri Ahmad Merican yang diiktiraf sebagai Tokoh Penyiaran Malaysia untuk menyertai kursus bersama pelakon dan kru teknikal lain.
Ketika kerjaya sebagai jurusolek berada di puncak, Mak Jah berhenti seketika kerana mengikut suami bekerja sebagai tentera dan terpaksa berpindah ke Sabah dan Sarawak.
“Kerja di RTM pula jauh, perlu naik kapal terbang kalau hendak berulang-alik. Jadi, saya berhenti seketika dan ikut suami ke sana. Selepas pulang ke Semenanjung Malaysia, saya mohon semula kerja di RTM tetapi tidak dapat.
“Kebetulan RTM memerlukan jurusolek sambilan disebabkan banyak drama swasta mula muncul sekitar 1981. Akhirnya, saya banyak menggantikan tempat jurusolek yang bercuti,” katanya.
Belasan tahun menjadi jurusolek, Mak Jah pernah memikirkan untuk berhenti daripada kerjaya tersebut lantaran keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Katanya, dia perlu menjalani pembedahan batu karang. Namun, pengarah, Mat London memujuknya supaya berehat seketika dan berusaha menyakinkan Mak Jah untuk menceburkan diri dalam bidang lakonan.
HIDUP SUSAH
Dibesarkan dalam keluarga yang susah memberikan cabaran besar buat Mak Jah untuk mendapat pendidikan sejak zaman sekolah rendah.
Kongsi Mak Jah, ibunya meninggal dunia ketika dia berusia sembilan tahun dan dibesarkan oleh datuknya di Beranang, sebelum dijaga kakak angkat, Laili Ibrahim.
Kata anak sulung daripada empat beradik perempuan itu, Laili ketika itu berkhidmat sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat di Selangor.
“Saya pernah sekolah di Kajang dan belajar sampai Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Seremban. Saya tidak sempat ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebab hidup susah.
“Selepas umur 18 tahun, saya perlu diserahkan kepada keluarga asal, namun hubungan dengan keluarga angkat masih rapat hingga sekarang,” katanya.
Berkongsi tentang darah seni yang mengalir dalam tubuhnya, kata Mak Jah, arwah bapanya merupakan pelakon teater semasa sesi wayang pacak di kampung, manakala arwah neneknya pula penari dondang sayang di Melaka.
Walaupun darah seni mengalir, Mak Jah seboleh-bolehnya tidak mahu anak dan cucunya menceburkan diri dalam bidang tersebut.
“Saya nasihatkan cucu supaya habiskan sekolah dahulu dan jangan jadi macam nenek mereka yang tidak tamat belajar.
“Saya tidak galakkan mereka berlakon walaupun anak bongsu pernah terlibat dalam kerja produksi selama 15 tahun. Dia pun tidak tahan sebab kerja tidak tentu masa,” katanya yang mempunyai 11 cucu dan 11 cicit.
RINDU BERLAKON
Mengulas lakonan yang berbekas di hati, Mak Jah berkata, filem arahan pengarah, Prof. Madya Datuk Dr. A. Razak Mohaideen, Jutawan Fakir masih diingatinya hingga kini. Dalam filem itu, dia melakonkan watak sebagai ibu.
Masih segar dalam ingatannya kenangan berlakon bersama Aedy Ashraf dan Naim Daniel yang ketika itu masih kanak-kanak.
“Aedy sejak kecil memang ada pakej, baik dari segi rupa, gaya dan bakat. Alhamduillah, Aedy yang saya selalu panggil adik berjaya dalam lakonan sehingga sekarang. Naim pula sudah berjaya jadi penyanyi,” katanya.
Mak Jah yang bakal mencecah usia 74 tahun pada 1 Mac depan berkata, perasaan ingin berlakon masih tinggi menggunung.
Namun, hasrat tersebut terpaksa difikirkan berulang kali lantaran kesihatan yang tidak begitu mengizinkan.
“Saya tidak mampu berjalan jauh sebab sakit kaki dan berterus terang dengan produksi kalau penggambaran melibatkan banyak pergerakan, memang tidak boleh terima. Jadi, saya minta mereka sesuaikan watak dengan keadaan sekarang.
“Memang rindu untuk berlakon semula dan berjumpa dengan kru produksi yang sudah lama kenal. Terbaharu, saya akan terlibat dalam drama terbitan Zeel Production,” katanya yang kini menetap di PPR Laksamana, Jalan Peel, Kuala Lumpur.