Redah lautan demi ilmu seni - Utusan Malaysia

Redah lautan demi ilmu seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMANYA pernah mencetuskan fenomena hasil pembikinan sitkom komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang disiarkan di TV3 sejak 1985.

Naskhah komedi tersebut boleh dianggap sebagai revolusi siri komedi di negara ini sehingga babak dan adegan yang dipentaskan masih disebut-sebut sehingga hari ini.

Walaupun tidak mempunyai darah seni dalam keluarga, Othman Hafsham atau nama sebenarnya Othman Shamsuddin, 83, mula meminati bidang seni sejak bersekolah di Kampar, Perak.

Katanya, sejak kecil dia sudah menonton pelbagai rancangan komedi pintar seperti Charlie Chaplin di pawagam.

Rentetan itu, minatnya mula bercambah dengan mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke London pada 1962.

“Lepas sekolah menengah, saya kerja sebagai kerani di pejabat pos dan mula simpan duit untuk melanjutkan pelajaran.

“Dengan duit simpanan dan bantuan ayah, akhirnya, saya berlayar ke London dari Singapura menaiki kapal selama 27 hari untuk menuntut ilmu seni pementasan, televisyen dan filem,” katanya ketika ditemui di kediamannya, baru-baru ini.

Othman merupakan graduan diploma dari London Film Schol dan Guildhall School of Music and Drama di London selepas lima tahun menuntut ilmu di luar negara.

Katanya, London merupakan pusat seni kreatif yang menjadi pencetus kepada kemunculan rancangan televisyen, filem dan teater sebelum merebak ke Amerika Syarikat.

Rancangan komedi pintar yang sangat popular di London ketika itu, memberi ilham buat dirinya menghasilkan naskhah serupa di Malaysia.

P.RAMLEE

Pernah bertugas sebagai penerbit dokumentari di RTM sejak 1970 hingga 1973, memberikan peluang buat Othman bersua muka dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Kongsinya, dia merupakan peminat tegar P.Ramlee dengan karya komedi pintar yang sentiasa malar segar tanpa mengira generasi sehingga sekarang.

Disebabkan umur arwah tidak panjang, hasrat untuk menghasilkan sebuah rancangan televisyen bersama dirinya tidak kesampaian ketika itu.

“Sebenarnya ada rancangan yang difikirkan P. Ramlee untuk hasilkan bersama saya. Kami bincang nak buat sebuah rancangan komedi pintar.

“Namun, hajatnya tidak kesampaian sebab sudah meninggal dunia dan arwah pergi terlalu awal masa itu,” katanya.

Sewaktu di RTM, Othman pernah diberikan peluang menghasilkan drama yang digelar sebagai potret pekerti dan panggung drama ketika itu.

SEJARAH PI MAI PI MAI TANG TU

Berkongsi bagaimana Pi Mai Pi Mai Tang Tu boleh tercetus, Othman berkata, idea asal sebenarnya merupakan karya Dr. Mohamad Hatta Azad Khan yang melakukan pementasan teater di panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jelasnya, Hatta mempersembahkan komedi berbentuk serius dan pintar berdasarkan kehidupan masyarakat yang tinggal di bandar.

Bertitik tolak daripada itu, Othman meminta kebenaran Hatta untuk mengadaptasi konsep pementasan kepada rancangan sitkom bersiri di televisyen pada 1985.

“Dia setuju untuk dijadikan rancangan komedi pintar di televisyen. Asalnya, tajuk yang digunakan ialah Syyy (ejaan sekarang Shhh) dan apabila kemuka idea pada TV3 tercetus ilham untuk menamakan sebagai Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

“Jadi pihak TV3 minta dikekalkan tajuk itu dan saya bersetuju dengan pendapat tersebut. Ia adalah pepatah orang utara yang bermaksud hanya bercakap banyak tetapi tiada isi,” katanya.

Sitkom tersebut dibarisi oleh nama-nama besar dalam industri seperti Allahyarham Zami Ismail, Allahyarham Ahmad Busu, Imuda, Khatijah Tan, Sabri Yunus, Sulaiman Yassin, Marlia Musa, Angeline Tan, Sathiya dan mendiang Accapan.

Sitkom yang menjalani rakaman di hadapan penonton menggambarkan suasana kehidupan seharian penduduk di Flat Seri Wangi.

Mengulas lanjut, Othman berkata, sitkom itu merupakan hasil kerja seni pertamanya sebagai wadah mengkritik pemerintah demi kebaikan dalam bentuk sinikal.

Othman beruntung kerana barisan pelakon yang menjayakan sitkom tersebut merupakan pelakon pintar yang berjaya membuatkan adegan dan dialog masih lekat di kepala penonton.

Jelasnya, kebanyakan pelakon sitkom itu asalnya bermula sebagai pelakon teater menerusi naskhah asal yang pernah dijalankan sebelum ini.

“Pi Mai Pi Mai Tang Tu bukan membariskan pelawak, tetapi mereka semua adalah pelakon. Penulis skrip berjaya menghasilkan dialog yang begitu mencuit hati dan situasi spontan yang berlaku di set penggambaran menjadi bahan komedi.

“Itulah usaha saya untuk menghasilkan sebuah komedi yang sesuai ditonton oleh segenap lapisan masyarakat serta mengutarakan masalah-masalah yang membelenggu rakyat Malaysia,” jelasnya.

SINDIR PEMERINTAH

Menurut Othman, setiap episod yang dihasilkan mempunyai tema tertentu dan selaku pengarah, dia sendiri pernah ditegur kerana kritikan yang dilakukan menerusi sitkom itu terlalu ‘menonjol’.

Apatah lagi, katanya, subjek yang menjadi bahan jenaka mengkritik hebat tentang amalan rasuah yang semakin berleluasa.

“Saya pernah dinasihatkan oleh pihak stesen supaya tidak melakukan kritikan yang terlalu menonjol. Contohnya, ada episod tentang rasuah yang menyindir kerajaan ketika itu.

“Sedangkan mesejnya adalah sangat besar yang memberi peringatan tentang kebanjiran rasuah boleh menjahanamkan negara,” katanya.

Selepas kejayaan Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Othman pernah mengarahkan sitkom 2+1 serta deretan filem lain seperti Adik Manja (1979), Driving School (1990), Silat Legenda (1998), Soal Hati (2000), Soalnya Siapa (2002), Karipap-Karipap Cinta (2011) dan Keluarga Baha Don (2019).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya