CIK Bunga sudah lama tidak bertemu seorang pelakon lelaki ini. Agak hairan juga apabila kelibatnya semakin jarang kelihatan menghadiri acara hiburan.Selalunya, dia tidak pernah ketinggalan menghadiri acara apabila mendapat jemputan.
Nak dijadikan cerita, baru-baru ini teman Cik Bunga berkesempatan menemu bual pelakon tersebut yang sedang mempromosikan drama lakonannya.
Ketika menemu bual, teman Cik Bunga bersama dua tiga rakan media lain tiba-tiba terhidu bau tidak selesa.
“Bukannya nak aibkan dia Cik Bunga, tetapi memang kami semua tidak dapat menahan riak wajah apabila pelakon itu mula membuka mulut.
“Bau mulutnya, aduh… ‘menusuk’! Tak sanggup hendak bertatap mata dengannya, terpaksa pegang perakam suara sambil pandang tempat lain,” kata teman kita ini.
Tidak habis di situ, sebelum bergerak pulang, teman Cik Bunga sempat berpesan kepada pengurus pelakon tersebut yang kebetulan turut menemaninya.
Antara pesanan yang dititip, termasuk menegur pelakon itu supaya lebih cakna menjaga kebersihan diri.
Pengurus itu sempat menjawab yang dia sudah puas menasihati pelakon itu, tetapi sudahnya dia pula yang kena marah.
“Dia tidak suka orang tegur perkara itu. Katanya, kenapa orang tidak pandai menjaga sensitiviti? Walhal, teguran itu adalah untuk kebaikannya juga. Entahlah,” jawab pengurus itu.
Dalam hal ini, Cik Bunga bersetuju dengan kata-kata pengurus tersebut. Betul, teguran itu untuk kebaikan pelakon tersebut.
Bab kebersihan diri adalah perkara asas dalam kehidupan. Tidak perlu orang tegur kerana sepatutnya dia sendiri tahu perkara itu.
Tambahan pula, dia selebriti, lagilah kena pandai jaga diri kerana selalu bertemu orang ramai.
Di sini, satu soalan yang Cik Bunga nak tanya, apalah agaknya perasaan pelakon sparing yang kena bekerja dengannya di set penggambaran? Aduhai.. macam ini punya orang pun ada.