Lambat nakal,itu lebih bahaya - Utusan Malaysia

Lambat nakal,itu lebih bahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH tenang. Mungkin andaian ringkas itu sudah cukup tepat untuk menggambarkan tentang diri pelakon wanita ini di ketika ini.

Sudah tidak lagi hanyut dengan segala macam ribut cerita kontroversi atau bahkan dihambat dengan gosip liar itu dan ini, Chacha Maembong kini bagaikan bertumbuh sebagai seorang individu yang baharu.

Sunyi daripada sebarang cerita tidak enak, pelakon cantik ini malah dilihat begitu fokus dengan kerjayanya sebagai anak seni tanpa lagi peduli dengan keterujaan untuk ligat bersosial atau berhora horey.

“Ya, tak perlu cakap orang, saya sendiri pun terkejut dengan perubahan diri sendiri sekarang ini. Mungkin dulu, saya terlalu muda. Maklum sajalah, masuk industri seni pun awal, dari kecil lagi.

“Sebenarnya, bagi saya, tak kisahlah apa pun kita ini, pelakon atau anak raja sekali pun, masing-masing akan lalui kehidupan sebagai seorang remaja. Bezanya, saya ini terhimpit dengan kerja dan kontroversi kerana diri dikenali ramai.

“Tetapi, sungguh saya katakan, saat usia sudah semakin meningkat ini, sekelumit perasaan untuk berhora horey itu sudah tiada keterujaannya. Saya dah tak nak semua itu dan ketenangan itu datang tanpa paksaan sesiapa,”katanya.

Mengakui bahawa keinginan untuk berubah itu lahir dari nuraninya sendiri, kata Chacha, barangkali dia sudah berasa puas melewati usia remaja dengan pengalaman-pengalaman yang sempat terakam di minda.

Malah, baharu kini dia faham tentang apa yang dikatakan orang, suatu masa manusia pasti akan berubah.

“Saya tak kata jahat, tetapi zaman kenakalan itu sudah awal-awal saya lalui. Bila awal, maka habisnya juga akan awal. Kecuali bagi mereka yang lambat nak jadi nakal, itu lebih bahaya sebab kebanyakannya akan susah nak berubah di hujung usia.

“Bagaimanapun, satu yang dapat dikatakan, biar apa pun jalan, pengalaman atau kontroversi yang saya lalui sebelum ini, tiada satu pun yang disesali. Sungguh! Saya tidak menyesal.

“Semua itu bagi saya adalah pengajaran dan apa yang menjadikan saya pada hari ini. Setiap manusia ada progres kehidupan mereka sendiri dan saya bersyukur kerana sudah lalui zaman itu,”katanya.

Kata pelakon Special Force: Anarchy ini, tentu sahaja sukar untuk dia melupakan kata-kata nista orang tentang dirinya di waktu yang lalu.

Namun, siapa pun mereka, Chacha percaya, tiada yang lebih mengenali dirinya berbanding keluarga sendiri termasuk orang terdekat dengannya.

“Tentulah, sesiapa sahaja boleh berkata buruk tentang kita kerana mereka tidak kenal siapa kita. Apa sahaja yang tak pernah saya terima dulu? Chacha teruklah, itu dan ini tetapi mereka cakap itu sebagai netizen.

“Mereka tak ada dalam dunia saya yang sebenar. Tetapi, lalau saya teruk dan nakal sangat pun, itu dululah. Saya sekaran, Alhamdulillah, lebih relaks.

“Bagi saya, semua orang ada dunia nakalnya. Baik macam mana pun pasti ada sisi nakal masing-masing. Cuma saya dulu orang ramai tahu sebab terkantoi. Pun begitu, tiada apa yang saya sesalkan,”katanya.

Kongsi Chacha, dia bukan berbangga diri melakukan kenakalan dahulu, tetapi secara tidak langsung kata pelakon ini, dia kini berada di satu fasa yang lebih baik dan sudah berubah drastik di sudut 360 darjah.

“Satu yang saya pegang, kita ini berubah, jangan kerana orang lain. Buat untuk diri sendiri dan seiring dengan usia, saya tahu, tidak akan selamanya saya mahu menjadi seorang manusia yang dianggap tidak ada masa depan.

“Saya tentunya mahukan keluarga sendiri, ada suami, ada anak. Saya juga fikirkan tentang masa depan. Kalau tak berubah, sampai bila nak jadi begitu? Tetapi ia juga perlukan sokongan daripada orang sekeliling terutama keluarga.

“Buang tanggapan bahawa mereka yang kononnya waktu muda tidak dilihat ada masa depan gara-gara terlalu nakal, selamanya tidak ada masa depan. Ada yang saya tengok, lebih teruk dari saya dulu, tetapi dialah yang paling rajin ke Mekah tunai ibadah kini.

“Jadi usah terlalu taksub untuk menghukum orang kerana kita tidak tahu bila dia berubah, dia menjadi insan yang lebih baik daripada kita ini. Betul tak?”katanya.

Bukan sombong, cuma elak kawan toksik

Tidak menolak bahawa keluarga adalah kalangan orang yang paling rapat dengannya pada waktu ini, kata Chacha, antara perubahan yang dilakukan dalam usaha menjadi seorang individu lebih baik adalah perlahan-lahan menjauhkan kawan bersifat toksik.

Itu juga menjadi sebab mengapa Chacha menganggap kehidupannya sudah ‘terbalik’. Dahulu, kawan keliling pinggang dan kini cuma keluarga yang selesa didampinginya.

“Memang saya tapis dan kawan saya sekarang ialah keluarga. Nak jadi kawan baik, kaki gosip pun, saya selesa cuma dengan keluarga saja kini. Bukan apa, kena ingat, kawan pun main peranan jika dia nak rosak atau jatuhkan kita.

“Kontroversi pun boleh tercipta berpunca daripada kawan. Saya sudah lalui semua itu dulu. Orang tikam belakang dan sebagainya. Iyalah, mungkin kita pun tidaklah baik sangat, tetapi lebih baik elak individu bersifat toksik ini awal-awal.

“Dulu mungkin saya fikir, ‘oh, aku tak boleh hidup tanpa kawan’. Tetapi sekarang sudah terbalik,”ujarnya.

Pun begitu, kata Chacha, usah tersalah anggap dirinya sebagai seorang yang sombong kerana itu tidak bermakna dia menolak untuk berkawan dengan sesiapa.

Jelas Chacha, setiap orang harus bijak mengawal kehidupan mereka sendiri dan refleksi diri dapat dilihat menerusi kawan yang ada di sekeliling seseorang individu itu.

“Saya tak kata pun tak nak berkawan dengan sesiapa. Tetapi harus tahu limtasinya.Saya pun tak suka terus menghukum orang, tetapi kena tahu prinsip diri. Buat masa ini, memang saya lebih selesa selalu di samping keluarga,”katanya.

Siapa jejaka istimewa? Rahsia!

Mengajaknya berbicara mengenai hasrat untuk berumah tangga, dalam malu-malu, adik kepada pelakon Emma Maembong ini mengakui sedang berkenalan dengan seorang jejaka yang dianggapnya istimewa.

Pun begitu, meski dipujuk berulangkali, Chacha tetap dengan pendiriannya untuk tidak terlalu bercerita tentang kekasihnya itu.

Tindakan itu juga antara satu perubahan berbeza yang dapat dilihat pada Chacha kerana sebelum ini, dia senang terbuka untuk berkongsi cerita dengan semua pihak.

“Satu yang saya pelajari kini, usah terlalu ‘transparent’ tentang kisah peribadi. Dulu ya, saya tak nafikan, memang suka berkongsi hal itu tetapi lihatlah, ke mana perginya hubungan itu sekarang?Tidak menjadi.

“Saya ini sudah penat asyik kena kontroversi bercinta sana sini tetapi tak menjadi. Cukuplah, saya berhati-hati kini. Cuma satu, saya memang sudah bersedia nak berkahwin, hati dah terbuka.

“Buat masa sekarang, saya rahsiakan dahulu. Saya tahu, tidak akan selamanya dapat berahsia sebab kalau keluar ke mana-mana bersama, pasti orang akan nampak dan tahu juga. Tetapi, nanti dululah. Belum masanya lagi untuk saya kongsikan,”katanya.

Sempat melirik ke arah skrin telefon pintarnya, Chacha tidak menolak, bahawa gambar yang tertera di skrin itu adalah lelaki istimewa yang bertakhta di hatinya pada waktu ini.

Bagaimanapun, dalam senyuman simpul, kata Chacha, dia tidak dapat bercerita panjang tentang siapakah gerangan jejaka tersebut yang dilihat mempunyai darah campuran juga seperti dirinya.

“Dulu, kalau orang tanya, apakah ciri lelaki yang menjadi idaman, saya akan cakap macam-macam ayat yang klise. Tak nak lelaki Melayu pun ada. Sebab itulah, dulu, saya jarang bercinta dengan lelaki Melayu.

“Sekarang ini, saya sudah tidak kisah dah. Kalau ditanya tentang ciri lelaki idaman, saya tiada jawapan. Saya sudah lalui banyak fasa hubungan dan apa yang kita minta itu jika tidak dapat, maka reda sajalah.

“Bagi saya, yang mana nak kekal dengan kita, dia akan kekal berada disisi. Jika benar jodoh, maka dialah orangnya,”katanya.

Mengharapkan doa yang baik-baik daripada semua pihak, kata Chacha, dia tidak meletakkan sebarang sasaran tentang tempoh untuk menamatkan zaman bujang.

Katanya, semua itu terserah kepada perancangan Maha Hebat Allah SWT dan dia akur dengan takdirnya.

“Kalau Allah kata esok saya kahwin, maka esoklah saya berkahwin. Kalau dua tahun lagi, maka begitulah turutan yang saya ikuti. Sungguh, saya tidak ada sebarang halangan untuk berkahwin sebab sudah bersedia.

“Cuma bilakah masanya itu, semua itu urusan Dia. Nanti, jika sudah ada kata putus dan ternyata jodoh saya sudah sampai, Insya-Allah, memang saya akan maklumkan pada semua,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya