PENGALAMAN lebih 25 tahun dalam dunia akademik dan menjadi tenaga pengajar dalam bidang kulinari membuatkan jiwa Prof. Datuk Cef Zamzani Abdul Wahab sudah sebati untuk terus bergelar pendidik.
Jika cef selebriti lain sibuk mengejar populariti, tetapi bagi beliau yang mesra dipanggil Cef Zam, 53, yang kekal adalah ilmu, bukan gelaran.
“Sebelum jadi cef selebriti, saya sudah berada dalam bidang akademik sejak 1997 lagi. Jiwa saya adalah jiwa ahli akademik. Pada saya populariti dan rezeki akan datang sekiranya kita ada ilmu dan kemahiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selepas lebih 10 tahun membuka kolej kulinari di Puchong, dan terpaksa menutupnya, Cef Zam yang begitu cintakan dunia pendidikan sekali lagi bangkit membuka kolej baharu iaitu Rich Talent International College di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor pada Mac 2022.
“Allah bukakan pintu rezeki saya untuk buka satu kolej di sini. Namun tidak semudah itu. Saya tutup kolej lama sebab ada masalah, kemudian kehilangan ibu tercinta, Chik Minah pada 2020.
Ketika itu saya memang down. Masa tutup kolej lama, ada terfikir juga tidak mahu sambung lagi dalam bidang akademik malah ada rakan cadangkan untuk saya mengajar sahaja di Youtube. Tapi tidak boleh, sebab saya sudah mengajar berpuluh-puluh tahun. Saya tidak boleh tinggalkan dunia pendidikan.
“Alhamdulillah, dalam gelora jiwa dan perasaan yang bercampur-baur diberi rezeki dan sokongan rakan-rakan serta Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk buka kolej Rich Talent ini.
“Liku-liku nak mulakan kolej ini adalah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sewa bangunan bulan April 2021 tapi tidak dapat buat pengubahsuaian tersekat oleh PKP. Kerja-kerja renovation hanya dapat dilakukan pada Oktober dan siap pada Disember 2021. Pertauliahan penuh oleh JPK dapat pada Mac tahun lalu,” katanya yang merupakan pengasas dan pengetua kolej itu.
Pelajar ditawarkan Sijil Kemahiran Malaysia Seni Kulinari Pembuatan dan Penyediaan Makanan, Tahap 2 dan 3 serta pelajar berpeluang menyambung pengajian ke peringkat diploma.
“Kita banyak kolaborasi dengan hotel-hotel dan juga telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Universiti MAHSA untuk menempatkan pelajar dari Rich Talent yang ingin menyambung pengajian diploma.
“Kemahiran dan pendidikan yang kita beri pada anak-anak ini akan mengubah cara hidup pelajar yang mungkin sekolah tidak berapa nak menjadi dan tiada minat. Tetapi percayalah tiada orang pun dilahirkan bodoh. Bodoh boleh belajar, malas tiada ubat. Itu yang membuatkan saya ingin terus berada dalam bidang akademik membantu mereka ini,” katanya yang kini mempunyai lebih 60 pelajar dan akan mencapai kuota 100 pelajar pada pendaftaran akhir Februari ini.
IMPI BINA YAYASAN
Kongsi Cef Zam, beliau mengimpikan untuk mempunyai wisma sendiri dan ingin bina yayasan yang dapat menyediakan kewangan kepada anak-anak yang berminat belajar kulinari tetapi tiada duit.
“Kemahiran dalam bidang masak ini tidak akan pernah tiada kerja dan ia tidak putus. Mana kita dicampak pun tetap boleh beri orang makan. Kalau kita ada kemahiran, Inshaallah kerja sentiasa ada, tak kerja dengan orang, boleh kerja sendiri,” katanya.
Selain sibuk menguruskan kolej kulinari, Zam turut menguruskan production Telemovie Perempuan Tanpa Cinta yang akan ditayang pada Raya Haji nanti. Beliau turut muncul dalam rancangan televisyen seperti Biscotti musim keempat, Dapur Chef Zam dan Gerabak Chef serta menjadi duta untuk jenama Bosch.
Profesional dan intelektual akan membezakan populariti tukang masak.
Bagi Cef Zam, meskipun lambakan content creator dan pempengaruh di media sosial bagaikan cef segera, namun ia langsung tidak menggugat cef profesional dalam bidang kulinari.
“Kita perlu faham kedua-duanya berbeza daripada segi kategori dan kumpulan sasaran.
“Kami serius, manakala content creator, khususnya yang tiada latar kulinari atau bekerja dalam sektor makanan dan minuman (F&B), mereka buat content hanya untuk meraih populariti,” katanya.
Ujarnya, lambakan cef selebriti bukan masalah kerana mereka bijak memasarkan diri untuk bersaing.
Namun stesen televisyen khususnya, perlu banyak melihat contoh program masakan luar negara yang mengutamakan cef profesional dan berpengalaman berbanding cef baharu atau pempengaruh untuk ditampilkan.
“Kepakaran, pengalaman, isi dan kreadibiliti yang membezakan kami. Menampilkan cef muda berbanding yang berusia pun tidak bagus sebab ia suatu bentuk diskriminasi. Sebab itu negara kita masih terkebelakang daripada banyak segi dan tiada critical thinking,” katanya.
Pesan Cef Zam, dalam keghairahan meraih views dan follower, pempengaruh mahupun peniaga, tidak perlu sampai ‘menjahanamkan keaslian’ sesuatu sajian.
“Kreativiti jangan sampai menjahanamkan keaslian. Resipi diperbaharui tapi lari daripada keaslian tidak boleh. Authentic perlu dijaga.
“Contohnya, seperti donut Red Velvet dan segala masakan yang ingin diletakkan cheese. Pewarna yang banyak digunakan dalam makanan boleh menyebabkan kanser. Ini menunjukkan orang kita suka mengikut, tapi tidak menyelidik dahulu. Sudahlah viral kemudian jual pula mahal,” katanya.