BANGI: Pelakon dan usahawan, Wawa Zainal, 32, menyifatkan dakwaan kegagalannya membayar penuh gaji pekerja seperti dihebohkan di media sosial merupakan fitnah terburuk pernah diterimanya dan suami, Aeril Zafrel.
Menurut Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, dia tidak tahu apa motif pihak yang membuat tuduhan itu kerana sepanjang menjalankan perniagaan Wawa Cosmetic, dia dan Aeril tidak pernah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai majikan dengan baik.
“Rasanya, inilah fitnah paling teruk pernah kami terima. Laman blog yang membuat tuduhan itu tergamak menggunakan gambar saya dan Aeril berserta kenyataan kononnya individu membuat luahan gaji dipotong itu adalah pekerja kami.
“Kenyataan itu juga bukan dalam bentuk tanda tanya. Malah, apabila gambar kami dikeluarkan, ia seolah-olah mengiyakan dakwaan tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis Malam Penghargaan Ejen dan Stokis Wawa Cosmetics, semalam.
Tegas Wawa, sepanjang perniagaannya beroperasi, kebajikan 35 kakitangannya sentiasa menjadi keutamaan.
“Tidak ada sebarang isu mengenai gaji. Malah, ketika pandemik dan negara berdepan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami masih mampu memberikan bonus kepada pekerja.
“Tahun lalu, kakitangan kami menerima bonus raya, selain diraikan dengan percutian ke luar negara.
“Disebabkan itu, saya dan Aeril memandang berat isu ini kerana fitnah yang dilemparkan mampu mencalar nama baik kami,” katanya.
Tambah Wawa, dia dan suami, bertegas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap blog terbabit yang disifatkan keterlaluan dan tidak bertanggungjawab.
“Saya dan Aeril tidak mahu perkara seperti ini merosakkan hubungan baik kami dengan pihak media. Tetapi, pengajaran harus diberikan agar tiada pihak sewenang-wenangnya membuat spekulasi.
“Kami harap pihak terbabit tidak ulangi dan jangan sesuka hati tulis perkara tidak sahih. Dalam tidak sedar, ia boleh beri kesan buruk kepada orang lain,” katanya.
Terdahulu, heboh di laman Twitter pendedahan seorang pekerja yang memberitahu gajinya dipotong oleh majikannya yang merupakan pasangan popular hanya kerana gagal mendapat sasaran jualan bulanan.
Bagaimanapun, sebuah blog dikatakan memetik nama Wawa dan Aeril sebagai majikan yang dimaksudkan, sekali gus mencemar nama baik pasangan tersebut.