Influencer pun ada hak keluar TV - Utusan Malaysia

Influencer pun ada hak keluar TV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMUNCULAN pempengaruh media sosial, Ratu Farah membuat persembahan dalam program hiburan, MeleTOP, baru-baru ini menimbulkan perasaan kurang senang segelintir pemerhati dan penggiat seni.

Sebahagian mereka meluahkan kekecewaan terhadap produksi televisyen yang disifatkan terlalu ‘lapar’ rating hingga sanggup membutakan mata terhadap kualiti serta bakat sebenar semata-mata untuk menarik tontonan.

Banyak persoalan yang timbul susulan isu tersebut. Benarkah produksi TV terlalu terdesak sehingga terpaksa membelakangkan bakat semata-mata mengejar rating?

Adakah itu juga menandakan stesen TV atau radio lebih berkiblatkan elemen viral sebagai pengisian kandungan, sedangkan bakat dan kualiti lebih menjamin untuk seseorang anak seni bertahan. Isu tersebut dikupas dalam Hangat Seminggu.

Ajar diri berlapang dada – Datin Alyah

PENYANYI, Datin Alyah, 42, secara peribadi kecewa apabila segelintir pihak lebih mengutamakan elemen viral, sedangkan anak seni sepertinya terpaksa berhempas-pulas dari bawah untuk memperkenalkan bakat.

Baginya, tidak adil apabila nama yang meledak di media sosial lebih mudah mendapat ruang, sedangkan anak seni berbakat terpaksa bersaing untuk mempromosikan diri.

“Tipulah kalau tidak kecewa kerana saya bermula dari bawah. Saya pernah dimarahi dan melalui pelbagai dugaan ketika memulakan langkah sebagai penyanyi.

“Apabila situasi begini berlaku, peluang berharga untuk artis berbakat memperkenalkan karya mereka jatuh ke tangan individu lain,” katanya.

Namun, penyanyi Sesal Separuh Nyawa itu berkata, pada usianya kini, dia ajar diri untuk berlapang dada kerana ketentuan rezeki setiap manusia sudah tertulis.

“Itu rezeki dia, tetapi jangan jadikan perkara itu sebagai kebiasaan kerana industri ketandusan bakat sebenar. Jangan rosakkan lagi sehingga nanti menjadi ikutan.

“Bukan bermakna mereka yang tular di media sosial tidak sesuai berada dalam industri seni, tetapi letaklah mereka pada tempat yang betul. Kita tidak boleh halang mereka, pada masa sama harus juga memikirkan peluang insan seni yang berbakat,” katanya.

Jangan salah guna peluang, jadi artis bermaruah – Ning Baizura

BAGI penyanyi bersuara emas, Ning Baizura, bakat baharu, khususnya yang mencipta nama menerusi platform media sosial sepatutnya tidak menyalah guna peluang dan perlu berusaha keras membuktikan kemampuan masing-masing.

Jelasnya, kehadiran pempengaruh media sosial bukan sesuatu yang negatif, namun ia bergantung kepada niat dan kemahuan masing-masing.

“Dunia sudah berubah. Kita harus sedar pengaruh media sosial cukup besar. Tidak salah jika mereka diberi peluang, tetapi jangan salah guna. Jangan sekadar mahu tular dan kejar views.

“Jadilah artis bermaruah yang bercakap perkara positif. Gunakan media sosial dan platform sebagai artis untuk membawa perubahan kepada dunia seni. Peluang tidak datang berkali-kali.

“Kita tidak dapat menghalang minat seseorang. Mungkin pada mata kita, dia tidak berbakat, tetapi populariti datang daripada sokongan kelompok berbeza. Itu pengaruh media sosial yang kita tidak boleh nafikan,” katanya.

Penyanyi Selagi Ada Cinta itu menambah, seseorang artis tidak akan bertahan lama jika hanya berdiri atas tiket kontroversi sehingga lupa bakat adalah akar untuk kekal relevan.

“Untuk jadi artis mungkin mudah, tetapi untuk kekal relevan memerlukan keunikan dan bakat. Tidak payah bangga sangat dengan populariti sementara. Semua itu boleh beralih arah dalam sekelip mata.

“Saya sudah 30 tahun dalam industri. Saya sudah lalui semua, banyak pengalaman yang mematangkan saya.
Kontroversi akan hidup buat selama-lamanya. Fikir dahulu sebelum bertindak,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya