JENAMA Rossa sebagai bintang pop balada Indonesia kekal utuh melewati lebih dua dekad.
Pengaruhnya cukup besar apabila berjaya menempa nama dalam pasaran muzik Malaysia pada awal pembabitannya dalam dunia seni suara.
Ayat-Ayat Cinta, Atas Nama Cinta, Pudar, Aku Bukan Untukmu, Hijrah Cinta, Cinta Dalam Hidupku dan Wanita Yang Kau Pilih antara lagu yang mustahil dilupakan dalam tempoh beberapa dekad lagi.
Meskipun hanya terikat dengan untaian lagu-lagu power ballad yang meruntun jiwa, berputar sekitar cinta dan putus cinta, Rossa sentiasa menerima demand yang tinggi daripada pendengar untuk terus menyanyikan karya seperti itu.
Pernah membawakan kelainan dengan lagu rancak dan catchy seperti As One, Pudar dan Hey Ladies menerusi album terdahulu, hakikatnya, perhatian pendengar tetap terarah kepada lagu jiwang dan galau.
Awal tahun ini, Rossa hadir dengan album Another Journey: The Beginning yang memuatkan 10 seleksi.
Secara peribadi, Rossa tidak membawa banyak kelainan, meskipun album ini mengambil masa enam tahun untuk dilengkapkan.
Perasaan teruja penulis yang pada awalnya membuak-buak, bertukar kecewa yang sukar untuk diungkapkan.
Lima daripada 10 lagu yang dimuatkan sudah dilancarkan lebih awal, membuatkan penulis tidak mahu lagi membuang masa 35 minit 17 saat menikmatinya.
Apatah lagi, dengan Intro berdurasi 1.25 saat sebagai pengisi trek pertama. Tidak pasti jika pembuka tirai seperti ini masih relevan untuk 2023.
Sepatutnya, Rossa sudah boleh memikirkan strategi menyelitkan satu lagu lengkap sebagai penambah kekuatan pengisian album tersebut.
Rossa bagaikan masih terbawa-bawa dengan era 1990-an atau 2000-an.
Another Journey: The Beginning menyajikan lima lagu pertama iaitu Masih (2020); The Heart You Hurt (2020) (dirakam semula dalam versi Korea); Wanita (2021); Terlalu Berharap (2021) dan Sekali Ini Saja (2022).
Kesemua lagu ini sudah diperkenalkan lebih awal sebagai single, membuatkan penulis memilih untuk tidak lagi bercerita mengenainya.
Persoalannya, apakah album baharu ini menyajikan kompisisi yang segar dan berimpak tinggi atau sekadar kompilasi?
KEKUATAN
Penulis tidak menafikan, ada kekuatan dalam album ini seperti lagu Bertengkar Manis, duetnya bersama Barsena Bestandhi.
Ia terhasil dengan garapan muzik yang cukup simple, tidak terlalu berat tetapi indah dan berbunga-bunga. Lagu ini berpotensi menjadi naskhah yang boleh sing along.
Rossa bekerjasama dengan Mahalini dan Martinus Layardo melahirkan Lupakan Cinta.
Lagu ini juga hadir sebagai komposisi yang cukup ramuannya. Penulis percaya, Lupakan Cinta akan terus bergerak sebagai lagu malar segar dan membawa Another Journey: The Beginning ke hadapan.
Cuma, adakah lagu ini jelmaan Sisa Rasa nyanyian Mahalini yang sedang popular?
Rossa turut menyadur lagu Kau nyanyian Candra Darusman (1981) dengan rentak yang lebih up to date, dibaluti elemen hip hop nyanyian Boy William.
Malangnya, ia tidak terlalu menarik perhatian penulis dan tidak juga membantu untuk menambah kekuatan album ini.
Akhirnya juga tidak memberi nilai tambah dalam perjalanan album ini, meskipun Melly Goeslaw berperanan dalam penghasilannya.
Ia seakan-akan membawa Rossa kembali ke era 20 tahun lalu, terlalu old fashion. Come on Rossa, you can do better.
Penghasilan album Rossa di bawah pengurusan sendiri sepatutnya menjadi lebih baik dan berimpak tinggi.
Entah mengapa, pilihan lagu Rossa jauh lebih hebat sewaktu penghasilan Tegar (1999), Rossa (2009) dan Love, Life and Music (2014).