TIGA tahun selepas mengeluarkan album terakhir, penyanyi, Selena Gomez, 31, memberi bayangan mengenai kemunculan buah tangan seterusnya.
Kongsi Gomez yang mempunyai 378 juta pengikut di Instagram, album tersebut mengandungi lirik yang sangat kuat, muzik bertenaga dan berentak pop.
Memilih untuk mengangkat tema mengenai kebebasan, kata Gomez, subjek tersebut boleh dikaitkan dengan persahabatan mahupun detik hitam dalam kehidupan.
“Muzik yang saya hasilkan sekarang adalah kisah sebenar yang saya lalui,” katanya kepada Vanity Fair, baru-baru ini.
Setakat ini, belum ada tarikh rasmi mengenai pelancaran album tersebut.
Namun, Gomez memberikan gambaran kemunculan album berjudul SG3 itu, susulan memuat naik gambar dia memakai gelang tangan tertera perkataan tersebut dalam Instagram Story.
SG3 bermaksud album ketiga Selena Gomez, sekali gus memutikkan harapan kepada peminat yang sentiasa menanti kemunculan terbarunya.
HARAPAN PEMINAT
Gomez sebelum ini, dilihat memperlahankan rentak karier muzik, susulan kejayaan drama bersiri misteri, Only Murders in The Building.Namun, dalam diam penyanyi ini tidak pernah berhenti mencari ilham untuk koleksi muzik seterusnya.
Bekas kekasih kepada penyanyi, Justin Bieber itu tetap memberikan khabar gembira ketika peminat bertanyakan tentang kehadiran album baharu.
Dia muncul dengan My Mind and Me yang menjadi sebahagian daripada filem dokumentari pada 2022 mengenai dirinya sepanjang enam tahun berkecimpung dalam bidang seni.
“Ia tentang perjalanan yang saya lalui bersama individu yang banyak mengubah hidup iaitu penerbit yang bekerja keras dalam penghasilan lagu dan mengenali saya dengan baik.
“Kami bekerjasama dalam tempoh yang sangat lama. Saya masih ingat ketika melepaskan semua perkara kepada mereka dan kebimbangan saya terhadap tanggapan mereka.
“Idea dan bahagian korus My Mind and Me muncul, malah benar-benar membuatkan saya terharu. Individu yang terlibat menjadikan kisah ini lebih besar. Saya benar-benar bersyukur,” luahnya.
Single My Mind and Me itu hanya mampu menghuni kedudukan ke-83 dalam carta Billboard Hot 100.
Gomez menghasilkan single pertama pada 2008 menerusi Tell Me Something I Didn’t Know.
Sedekad selepas itu, dia hadir dengan tiga album studio iaitu Kiss & Tell (2009), A Year Without Rain (2010) dan When The Sun Goes Down (2011) sehingga berjaya mendapat pengiktirafan emas.
Bagaimanapun, Gomez belum cukup puas berkarya kerana mahu melakukan eksplorasi lebih mendalam tentang penghasilan lagu.
MISKIN SEBELUM KAYA
Siapa sangka kehidupan kaya-raya dan dunia glamor yang dinikmati Gomez sebenarnya bermula dengan keperitan.
Gomez sebenarnya pernah hidup susah apabila dibesarkan oleh ibu tunggal selepas kedua-dua orang tuanya bercerai ketika dia masih kecil.
Kehidupannya sangat sukar, malah pernah suatu ketika, ibunya tidak mampu mengisi minyak kereta kerana kehabisan wang.
Gomez pernah menjalani pembedahan transplan buah pinggang pada 2017, selain mempunyai masalah kesihatan mental sehingga terpaksa bergantung ubat-ubatan. – AGENSI