Ejen Ali The Movie ditayang RTV Indonesia - Utusan Malaysia

Ejen Ali The Movie ditayang RTV Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas mencipta kejayaan tersendiri dalam industri animasi tempatan, filem animasi popular, Ejen Ali The Movie melakar langkah baharu apabila ditayangkan di Indonesia menerusi saluran Rajawali Televisi (RTV).

Diterbitkan WAU Animation dan Primeworks Studios, filem animasi ini disiarkan di saluran percuma itu, selain ditayangkan serentak di platform ‘video on demand’ (VOD), mulai kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, dalam satu kenyataan berkata, selepas berjaya mencipta fenomena, Ejen Ali sering mendapat permintaan ramai daripada peminat siri tersebut.

Perkara itu, katanya, diyakini dapat membuka laluan untuk karya tempatan terus mendapat perhatian di luar negara.

“Ejen Ali The Movie mendapat sambutan positif penonton. Ramai memuji gabungan unik aksi, komedi dan jalan cerita yang memberi inspirasi. Ia membuktikan filem animasi anak tempatan juga sama hebat dengan produk luar negara.

“Bagi kami, kehadiran RTV sebagai rakan saluran televisyen (TV) percuma memberi peluang besar membawa kandungan animasi Malaysia kepada peminat di Indonesia.

“Saya percaya, ia berupaya membawa Ejen Ali lebih dekat dengan pasaran Indonesia dan menerima peminat baharu di saluran berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation yang juga Pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin, menyifatkan kejayaan Ejen Ali The Movie menembusi pasaran Indonesia membuktikan karya tempatan mempunyai nilai dan kualiti tersendiri.

“Kami berbesar hati menerima berita Ejen Ali The Movie akan ditayangkan di Indonesia. Ini adalah penanda aras yang baik buat filem animasi ini kerana disiarkan secara percuma buat kali pertama di Indonesia.

“Kami berharap Ejen Ali akan terus menjadi ‘ejen’ kegemaran penonton dan karya ini dapat memberi inspirasi kepada penonton melalui semangat gigih Ejen Ali dalam berjuang demi kebaikan.

“Ejen Ali mempunyai sesuatu yang ingin ditunjukkan dan kami tidak sabar melihat bagaimana ia berinteraksi dengan penonton,” katanya.

RTV adalah rangkaian televisyen terbesar di Indonesia yang mempunyai liputan 90 peratus daripada populasi di negara itu.

Siri animasi yang disiarkan di Malaysia sejak 2016 itu sudah memasuki pasaran lebih 50 negara, termasuk rangkaian serantau Netflix, Disney+ Hotstar, Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV di Indonesia dan TV AlMajeed di Asia Barat dan Afrika Utara.

Ejen Ali The Movie mencatat kejayaan besar apabila meraih RM30 juta dan menjadi satu-satunya filem animasi pecah panggung pada 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya