Cik Bunga pada awalnya, seakan tidak percaya juga dengan khabar berita yang sampai ke telinga kita. Bukan apa, soalan pertama Cik Bunga ialah, ‘eh bila masa mereka bercinta?’
Kemudian, timbul pula soalan kedua, ‘macam mana mereka boleh bertemu?’ Iyalah, kaitan pelawak dan atlet penerjun Malaysia, mesti bukan Cik Bunga seorang sahaja yang bingung tertanya-tanya dengan soalan begitu bukan?
Tetapi, Cik Bunga percaya, kalau sudah dinamakan jodoh, ikut mana-mana pun, akan bertemu juga. Tak begitu?
Kalau dilihat daripada latar belakang Jiggy daripada kumpulan Masin itu, mungkin sudah tiba masanya untuk dia melangkah ke fasa baharu dalam hidup setelah pernah mengalami kegagalan alam rumah tangga sebelum ini.
Kalau masih ingat, Jiggy pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan pengacara, Elly Ariffin sebelum ini.
Bagaimanapun setelah lima tahun, kedua-duanya mengambil keputusan untuk berpisah secara baik pada tahun 2020.
Cuma, Cik Bunga pun tak sangka juga pelawak ini bercinta dengan seorang atlet hebat macam Dhabitah. Mencipta hubungan yang serius, khabarnya, pasangan ini juga sudah menyusun langkah untuk bernikah tidak lama lagi.
Tetapi, tidak pula Cik Bunga ketahui bila tarikh sebenar majlisnya itu. Mungkin nanti nak kena tanya juga pada tuan empunya badan.
Harapnya, Jiggy pun tak adalah pasang niat nak kahwin sorok-sorok macam sesetengah artis lain pula ya. Tahu-tahu sudah bernikah… letak gambar dengan kapsyen ringkas ‘Alhamdulillah’ saja.
Itu pun kalau letak dan kongsikan dengan semualah. Bukanlah nak kata tak boleh, tetapi kalau sudah namanya artis dan selebriti, kongsikan sajalah dengan semua pihak terutama kawan-kawan media.
Kalau sorok pun, esok lusa orang tahu juga, dah penat nak menjawab banyak-banyak kali. Betul tak? Kalau nak elak penat ditanya banyak kali, ha… buat sidang media terus. Amacam? Okey tak Jiggy?
Apa pun, tahniah Cik Bunga ucapkan kepada pasangan ini. Semoga semua urusan kalian berdua, dipermudahkan-Nya.