Belagu II: Realiti, identiti dan harapan Dayang Nurfaizah - Utusan Malaysia

Belagu II: Realiti, identiti dan harapan Dayang Nurfaizah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELUM puas rasanya penulis memutarkan lagu Kenang Daku Dalam Doamu, Malam Ku Bermimpi dan Tudung Periuk yang dirakam semula Dayang Nurfaizah menerusi album Belagu. Penyanyi ini tampil lagi dengan Belagu II sebagai kesinambungan daripada album yang dirakam secara langsung itu hampir dua tahun lalu.

Siapa yang menduga, tercapailah impian penyanyi berasal daripada Sarawak ini untuk memiliki satu lagi karya warisan Melayu klasik selepas album Kasih (2001) dan Belagu (2021).

Meskipun Dayang bukanlah berawal sebagai penyanyi irama tradisional dan Melayu asli, penyanyi Hakikat Cinta ini tidak pernah gagal dalam memberi karya masterpiece untuk pendengar-pendengar setianya.

Belagu II hadir dengan garapan muzik yang lebih besar gemanya dengan iringan muzik orkestra penuh antarabangsa – Budapest Scoring Symphonic Orchestra daripada Hungary.

Bayangkanlah, 50 pemuzik antarabangsa yang tidak terdedah dengan nilai seni kemelayuan di dalam lagunya, namun, berjaya mengiringi alunan suara Dayang tanpa kedengaran seperti bunyi daripada Eropah.

Bermula dengan Nak Dara Rindu sebagai trek pertama di dalam album ini, kiranya sudah sesuai dijadikan tirai pembuka dan teraju dalam perjalanan album sebelum disusuli lapan lagu lain.

15 saat pertama sudah begitu mengasyikkan apabila pendengar disaji dengan gesekan biola sebelum Dayang memulakan nyanyiannya yang tidak berlebih-lebihan. Walau apa pun, lagu ini tidaklah seberat Menanti Di Ambang Syurga di trek kedua yang menjadi kegemaran penulis.

Penjiwaan Dayang dalam mentafsirkan lagu nyanyian asal Allahyarham Datuk Mohd. Jais Ahmad ini jelas menggambarkan betapa berat dan perihnya merindui seseorang yang telah pergi dengan harapan bertemu semula di ‘dunia sana’. Ia seolah-olah menjadi sekuel kepada Kenang Daku Dalam Doamu yang dimuatkan di dalam Belagu.

Andai P. Ramlee dan Saloma masih ada, pasti mereka berbangga kerana Dayang boleh menyanyikan Ketipang Payung dengan cara yang tersendiri. Di sini, maestro muzik terkenal, Aubrey Suwito bijak menyusun lagu sesuai dengan vokal Dayang.

Jika Dayang menyanyikan Tari Tualang Tiga semasa majlis resepsi perkahwinan (juga dimuatkan dalam Belagu), Ketipang Payunglah akan memainkan peranannya selepas ini.

Penulis cuba menahan diri daripada membuat perbandingan lagu Jauh Di Mata yang pernah dirakam penyanyi Ratu Rock, Ella, yang dimuatkan di dalam album Ilham Bicara (2001). Kendatipun, dengarlah versi Ella, ia kedengaran tua, bingit dengan alunan Melayu asli yang kurang menjadi.

Namun, penulis maklum, Ella mengetengahkan elemen pop rock dengan ramuan Melayu Asli yang dianggap sesuai dengan pasaran muzik ketika itu. Sementara Dayang, dia masih berpegang pada etika, mengekalkan alunan Melayu asli yang lebih lembut dan mendayu-dayu.

Mengapa Dirindu, nyanyian asal Saloma telah dirakam semula oleh ramai penyanyi tanah air termasuk Noraniza Idris, Syura dan Uji Rashid. Tidak banyak perbezaan dalam mengalunkan lagu berentak zapin ini – kecuali susunan lagu Aubrey yang lebih moden dan mewah.

Sejak Ku Bertemu Padamu di trek enam mengingatkan penulis pada Jikalau Abang Merindu kerana rentak dan konsepnya yang hampir sama. Lagu ini juga dirakam dalam pelbagai versi oleh penyanyi Sanisah Huri, Rahimah Rahim dan Nassier Wahab, namun, Dayang berada di kelasnya tersendiri!

Dari Hati ke Hati juga begitu. Andai Dayang membuka pentasnya dengan lagu ini semasa konsert Belagu pada Mac ini, penulis berharap Dayang mengekalkan muzik bermula di minit 2.17 yang kedengaran amat meremangkan.

Melangkau kepada trek akhir berjudul Rindu Menyapa, merupakan bonus track ciptaan Aubrey dan lirik ditulis oleh Datuk Habsah Hassan, sungguh lagu berentak pop jazz gabungan Melayu asli ini kedengaran mewah dan mahal. Sesuai dinyanyikan di hotel, kelab malam atau acara-orang orang kenamaan. Namun, ia bukanlah antara pilihan penulis kerana sifatnya yang terlalu mellow dan mendatar.

Tanpa Rindu Menyapa pun, Umpan Jinak Di Air Tenang (trek 8) yang berentak joget dan catchy sudah cukup sebagai trek akhir sekaligus menjadi penutup tirai Belagu II kerana sifatnya yang happening. Ia mengingatkan penulis akan keriangan Dayang menyanyikan Joget Pahang dalam konsert Kesuma Jiwa 2020.

Belagu II hadir sebagai penghargaan terhadap irama Melayu klasik menyedari ia semakin hilang ditelan zaman. Memandangkan album ini bukanlah naskhah berpaksikan keuntungan dan nilai komersial, Dayang harus berpijak di bumi nyata, bahawa lagu Melayu klasik akan kekal sebagai satu identiti dan sejarah.

Hadirlah seribu satu album Melayu klasik pun, ia bukan lagi dominasi dalam pasaran muzik kini. Setidak-tidaknya, inisiatif Dayang dalam mengangkat martabat Melayu melalui Belagu II dapat dirasai semua orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya