SELAIN kemenangan Aina Abdul merangkul gelaran juara pada Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL37), Ahad lalu, banyak juga isu iain yang sehingga kini masih diperkatakan.
Ia termasuk persalinan yang digayakan beberapa selebriti yang turut diundang memeriahkan malam gemilang itu.Antara yang hangat diperkatakan adalah persalinan yang disarung pelakon dan pengacara, Janna Nick serta Nabila Razali.
Cik Bunga berkerut dahi melihat busana yang disarung dua artis tersebut.Ada mulut tidak berinsurans menyamakan pakaian Nabila seperti baju renang Muslimah.
Ramai juga yang tidak selesa dengan persalinan yang sendat melekap di tubuh itu. Ia kurang sesuai dengan imej Nabila yang bertudung.
Kalau Nabila tidak bertudung, mungkin tidak menjadi isu. Cik Bunga faham apabila ramai yang mengecam pilihan pakaian penyanyi itu.Apa boleh buat, benda dah lepas. Mahu atau tidak, hadap sahajalah…
Beberapa hari selepas acara tamat, ada sumber mendekati Cik Bunga mendakwa, sebenarnya busana yang digayakan Nabila itu tidak sempat siap sepenuhnya.
Jangan tanya kita siapa nama pereka fesyen tersebut. Boleh cari sendiri di Instagram.
Sumber itu mendakwa, busana tersebut sepatutnya sarat dihiasi manik dan permata. Proses menyiapkannya pula memakan masa yang lama.
Tidak tahu apa yang berlaku, khabarnya hanya beberapa bahagian pada persalinan itu yang sempat dihiasi butiran manik.
Nak dijadikan cerita, Nabila terpaksa juga menyarung busana yang dikatakan tidak sempat siap itu. Aduhai, kasihan Nabila…
Hendak buat macam mana, perkara sudah terjadi. Cik Bunga harap, selepas ini Nabila dan pengurusannya dapat elak perkara seperti itu daripada berulang.
Buat Nabila, Cik Bunga harap awak terus positif sahaja. Mungkin pereka tersebut berdepan situasi tidak dapat dielakkan. Ada hikmahnya perkara ini berlaku.