Aina Abdul suara, rujukan generasi masa kini - Utusan Malaysia

Aina Abdul suara, rujukan generasi masa kini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECEMERLANGAN Aina Abdul meraih trofi Juara Lagu, Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL37) menerusi lagu ciptaannya, Terus Hidup, selain mempertahankan trofi Vokal Terbaik buat kali kedua berturut-turut mengukuhkan lagi posisinya dalam industri muzik.

Sejak penyertaan pertama dengan mempertaruhkan Sumpah pada AJL34, namanya terus meniti di bibir ramai. Meskipun gagal meraih sebarang kemenangan menerusi penyertaan sulungnya dalam acara tahunan berprestij itu, ia bukan halangan untuk Aina menggapai cita-citanya.

Tidak lagi menoleh ke belakang, penyanyi asal Seremban, Negeri Sembilan itu terus melangkah dengan menghasilkan single hebat seperti Semalam, Sepi dan Terus Hidup.

Ketiga-tiga lagu itu tidak hanya membolosi kemuncak AJL, malah setiap satu mencatat kejayaan yang meletakkan Aina dalam posisi selesa sebagai komposer dan penyanyi.

Semalam memahat kejayaan buat Aina apabila diumumkan sebagai naib juara AJL 35, manakala pada AJL36 membawa pulang trofi Vokal Terbaik menerusi Sepi, mengetepikan pesaing terdekatnya, Ernie Zakri dan Marsha Milan.

Terus Hidup bagaimanapun, menamatkan penantian empat tahun Aina apabila lagu sentuhannya itu dijulang sebagai Juara Lagu, melayakkannya menerima wang tunai RM100,000 dan trofi.

Di sebalik kecemerlangan yang dilakar, Aina sebenarnya berdepan laluan sukar untuk berada pada kedudukannya hari ini.

Hanya selepas hampir sedekad berjuang, baru kini Aina menghirup kemanisan atas kerja keras dan usahanya yang tidak pernah mengenal lelah serta erti putus asa.Meskipun bermula cemerlang apabila muncul naib juara Mentor Legend di bawah bimbingan Ratu Rock, Ella pada 2015, tuah tidak datang bergolek kepadanya.

Cahaya yang diharapkan mengiringi permulaan langkahnya suram, membuatkan dia mengambil keputusan meneruskan minat dengan menyanyi di kafe.

Aina hanya mengecap populariti pada usia 28 tahun apabila Sumpah mula mendapat tempat di stesen radio. Meskipun ada yang beranggapan dia bermula agak lambat, Aina berusaha keras membuktikan dirinya adalah permata berharga industri muzik.

Dia bermula dari bawah, mengukir sendiri langkah berbekalkan semangat yang jitu dengan ilmu dan pengalaman yang diraihnya.

Aina bijak mencipta peluang, malah kebijaksanaannya sebagai pemuzik membuatkan maestro tersohor, Datuk Ramli MS melihatnya sebagai suara dan rujukan anak seni generasi masa kini.

Aina membuktikan segala kerja keras dan pengorbanan hampir sedekad terbayar apabila meraih pengiktirafan yang menjadi idaman ramai, meskipun terpaksa menanti lama untuk mengenggam impian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya