Ada yang dah lupa saya penyanyi ke? - Utusan Malaysia

Ada yang dah lupa saya penyanyi ke?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSEMBAHAN Syamel di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37, baru-baru ini mengubat rindu peminat yang mungkin tertanya-tanya, mengapa agak lama kita tidak mendengar suara emasnya di pentas besar.

Menyoroti garis masa media sosial milik suami kepada penyanyi, Ernie Zakri itu, dia lebih banyak memuat naik gambar dan video berkaitan keluarga, berbanding kerjaya. Lantas pelbagai persoalan timbul.

Ada yang tertanya-tanya, adakah Syamel lebih selesa melihat kerjaya Ernie ke hadapan? Atau dia senang dengan tugas sebagai ‘suri’ rumah tangga? Adakah itu yang menyebabkan kerjayanya bergerak perlahan?
Pancaindera mendapatkan penyanyi Bahagia Milik Kita itu. Syamel, Jawablah!

PERKEMBANGAN seni sekarang? Dengar cerita ada beberapa lagu baharu?

Manisnya soalan pembuka. Sekarang saya dalam proses mengumpul material untuk album baharu. Insya-Allah, tahun ini akan dilancarkan. Konsep dan berapa banyak lagu yang bakal dimuatkan, bagaimanapun masih dalam perbincangan.Memang ketika ini, kebanyakan penyanyi memilih untuk mengeluarkan single. Tetapi, bagi saya, kepuasan sebenar penyanyi adalah apabila berjaya menghasilkan album sendiri.
Ia satu langkah berani, terutama ketika tidak ramai yang sanggup berhabis. Ia juga untuk portfolio dan profil seni saya. Mana tahu ada peluang buat showcase atau konsert kelak.

Eh!!! Tahu-tahu sahaja soalan seterusnya berkaitan konsert solo. Kita lihat, Ernie sudah terbang tinggi dengan showcase solo, baru-baru ini. Ramai yang tertanya-tanya, bila giliran Syamel pula?

Sepatutnya, sebelum showcase Ernie, saya terlebih dahulu buat. Perancangan itu memang ada. Tetapi apabila difikir semula, saya akan nyanyi lagu yang sama seperti konsert kami, tahun lalu.
Jadi, lebih baik saya tunda dahulu sementara menunggu album baharu keluar. Pada masa sama, saya boleh mempromosikan lagu baharu. Itu akan memberi lebih impak kepada konsert saya.Kalau ikut perancangan, mungkin hujung tahun ini. Doakan, semoga dipermudahkan. Hendak buat konsert bukan perkara main-main, kena rancang betul-betul. Mana tahu ada peluang lebih besar seperti ke luar negara pula.

Benarkah dakwaan segelintir pihak, Syamel lebih senang melihat Ernie terus terbang tinggi? Syamel seolah-olah berundur dahulu untuk beri laluan kepada Ernie?

Suami mana tidak senang hati melihat isteri berjaya meraih cita-citanya. Mungkin sekarang Ernie dilihat lebih ke depan. Sementelah, dia baru sahaja beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
Bagi saya, siapa ke depan atau belakang bukan isu. Saya gembira dan teruja melihat dia menyanyikan lagu ciptaannya sendiri di pentas AJL. Mungkin mereka melihat dari sudut pandang yang berbeza.
Untuk saya kekal selama tujuh tahun dalam industri, banyak yang dilalui dan pelbagai perancangan disusun. Saya perlu duduk berbincang dan memikirkan strategi terbaik. Lagu baharu yang dikeluarkan juga betul-betul diambil kira.

Tapi lebih perit didengar, bila ada yang dakwa Syamel sekarang duduk rumah jaga anak sahaja. Betul ke?

Saya tidak salahkan mereka yang anggap begitu. Saya sendiri bila tengok hantaran di media sosial, lebih berkisarkan keluarga. Gambar anak yang banyak. Mungkin saya teruja dan lebih banyak berkongsi perihal anak.Macam saya cakap, tahun ini ada perancangan besar yang akan dilakukan. Saya akan mula menjaga feed media sosial. Bukan menyesal tau. Bila banyak sangat gambar keluarga, mungkin orang dah lupa saya sebagai penyanyi. Tugas saya untuk kembali aktif dan mengingatkan mereka, saya penyanyi! (seloroh)

Berkecil hati? Atau ada nasihat kepada mereka yang memandai-mandai tuduh Syamel lebih selesa sebagai ‘suri rumah tangga’?

Saya tidak ada masalah. Rasanya peminat tahu perancangan kerjaya seni saya. Kita tidak boleh halang orang untuk berkata-kata. Masing-masing boleh buat andaian dan pendapat.
Asalkan saya tahu tanggungjawab sebagai suami dan bapa, jaga keluarga dengan baik, andaian seperti itu tidak menyesakkan saya. Lagipun, awal tahun, kebanyakan penyanyi berehat dahulu.
Saya juga sedang mempromosikan produk baharu, Sambal Terasi Kakak. Kami suka berniaga. Bila ada peluang berniaga, kami akan cuba. Seronok berbisnes ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya