KUALA LUMPUR: Pelakon, Jojo Goh, mengakui terharu kerana setelah 11 tahun tidak aktif membintangi produksi Melayu, peluang itu akhirnya datang menerusi filem Duan Nago Bogho.
Kata pelakon berusia 39 tahun ini, naskhah arahan sutradara terkenal, Sabri Yunus itu, menyempurnakan impiannya untuk kembali mewarnai industri perfileman Melayu kerana sebelum ini, dia lebih aktif berlakon drama Cina.
“Kali terakhir saya berlakon filem Melayu adalah 29 Februari arahan Edry Abdul Halim pada 2012. Sudah lama. Kebanyakan masa, saya banyak berlakon dalam produksi Cina.
“Pernah juga mendapat pencalonan untuk anugerah, tetapi tiada rezeki bawa pulang trofi. Cuma, menerusi 29 Februari, saya dapat trofi Pelakon Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25).
“Itu memang antara memori yang tidak dapat saya lupakan,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu temu bual, baru-baru ini.
Bagaimanapun, kata Jojo, kenyataannya itu bukan bermaksud dia mahu kembali aktif dalam pasaran Melayu semata-mata memburu peluang untuk membawa pulang anugerah.
“Jangan salah faham. Bukan sebab mahu menang anugerah, tetapi drama atau filem Melayu mempunyai tempat yang istimewa di hati saya.
“Selepas 29 Februari, tidak ada peluang untuk saya terbabit dengan mana-mana produksi. Hanya setelah 11 tahun, peluang itu datang menerusi Duan Nago Bogho. Bagi saya, ia sangat menarik,” katanya.
Kongsi Jojo, jarak lama itu mungkin disebabkan tiada watak yang sesuai untuk diberikan, namun dia tidak menuding jari menyalahkan mana-mana pihak.
“Saya tidak berani suruh orang ambil saya berlakon. Biarlah tawaran itu datang apabila ada watak yang bersesuaian.
“Namun, untuk saya melobi atau mempromosikan diri, rasanya tidak. Orang juga belum tentu selesa dengan cara itu. Apatah lagi untuk mengaku diri bagus,” katanya.
Dalam pada itu, kata Jojo, dia mahu meluaskan lagi cabang seninya agar lebih banyak peluang lain dapat diterokai.
Mampu berbahasa Melayu dengan baik, kata Jojo, turut memberinya kelebihan untuk meneroka pasaran lebih meluas.
Selain Jojo yang melakonkan watak Nancy, filem ini turut dibintangi Angeline Tan, Husairi Husain, Jason Chong, Issey Fazlisham, Saidi Sabri dan ramai lagi.
Filem pertama terbitan Kalamarif Holdings menelan kos pembikinan RM2 juta itu akan menemui penonton di pawagam bermula esok.