KUALA LUMPUR: Penerbit Eksekutif SR One Sdn. Bhd, Syed Muhamad Izzudin Syed Akil, 36, menyifatkan penulis novel popular, Siti Rosmizah Semail sebagai pengkarya yang sangat komited dengan kerjanya.
Malah, kata Syed, ketika dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan pada 1 Januari lalu akibat jangkitan Covid-19, Rosmizah sempat berpesan supaya membantu memastikan proses penggambaran drama, Andai Itu Takdirnya dipantau dengan baik.
“Hari kedua berada di ICU, selepas bangun daripada tidur, dia sempat berpesan kepada suaminya, Mazelan Zainol Abidin dan saya untuk sama-sama pastikan perjalanan penggambaran drama itu berjalan lancar.
“Pelbagai pesanan dia berikan untuk memastikan karyanya dihasilkan dengan teliti dan berkualiti. Dia juga berpesan supaya semua pasukan produksi, termasuk artis yang terlibat dalam penggambaran menjaga kesihatan masing-masing.
“Bagi saya, dia sangat ‘workaholic’ dan teliti dalam apa sahaja kerjanya. Dalam keadaan sakit pun, dia masih sempat lagi fikir kerja, bertanyakan khabar dan keadaan di set penggambaran. Memang itu dirinya yang sebenar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Syed turut memaklumkan, Rosmizah kini berada dalam keadaan kritikal apabila jangkitan yang dialami berada pada tahap empat.
“Mengikut apa yang dimaklumkan doktor, Rosmizah masih dalam jagaan dan pemantauan rapi memandangkan jangkitan berada pada tahap empat. Itu yang membuatkan kami semua sangat risau.
“Seluruh pasukan produksi SR One sangat berharap dia kembali sihat seperti sedia kala. Rosmizah umpama tulang belakang kami. Idea dan karyanya sangat menghidupkan industri drama.
“Kami semua merindui celoteh dan teguran nasihat daripadanya, terutama apabila dia bersuara dalam ‘group’ produksi, termasuk ketika melawat lokasi penggambaran,”katanya.
Syed juga memohon semua peminat novel dan drama Rosmizah untuk bersama-sama mendoakan kesembuhan penerbit itu.
Ahad lalu, Rosmizah yang mengalami simptom seperti demam dan batuk berpanjangan telah dikejarkan ke hospital dan ditahan di ICU.
Bagaimanapun, semalam, menerusi satu hantaran di Instagramnya, pengendali akaun memaklumkan, keadaan penerbit itu semakin kritikal apabila jangkitan Covid-19 berada pada tahap empat.