KUALA LUMPUR: Pelakon, Mimi Lana, 27, memaklumkan, dia mengimpikan majlis perkahwinan yang sederhana apabila tiba masa untuk dia mendirikan rumah tangga nanti.
Perkara itu dikongsi Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, menerusi satu hantaran di Instagram, hari ini.
Menerusi hantaran sama, pelakon filem Pusaka dan Saka Nan Sepi itu turut meluahkan perasaan syukur apabila dihujani doa yang baik usai majlis merisik yang berlangsung secara ringkas, semalam.
“Syukur Alhamdulillah dan terima kasih tidak terhingga atas segala doa yang baik daripada kalian. Saya sangat terharu dengan semua kata-kata baik yang diberikan.
“Bagi saya, 90 peratus adalah perancangan Allah, hanya 10 peratus datang daripada saya. Segala yang berlangsung merupakan di luar jangkaan saya. Bersederhana itu adalah impian perkahwinan saya dan semuanya direstui dengan mudah,” katanya.
Selain itu, kata Mimi, dia juga terharu kerana disayangi ramai yang mendoakan segala perjalanan menuju hari bahagianya nanti dipermudahkan.
“Selama 27 tahun, ini kali pertama saya rasa sangat sangat disayangi semua orang sehingga tiada perasaan yang tidak baik terdetik dalam hati. Alhamdulillah.
“Terima kasih tidak terhingga Ya Allah dan keluarga, termasuk keluarga pasangan saya. Tiada kata yang dapat menggambarkan apa perasaan saya pada waktu ini.
“Allah SWT telah permudahkan segala-galanya dan saya akan terus berdoa agar urusan saya serta semua yang menyayangi dipermudahkan pada masa akan datang. Insya-Allah. Amin,” katanya.
Semalam, pengurus Mimi, Iman Tang, memaklumkan pelakon itu telah dirisik aktor, Syafiq Kyle dalam satu majlis ringkas melibatkan kedua-dua keluarga.
Terdahulu, Syafiq memaklumkan bakal menamatkan zaman bujangnya tahun ini, selain mengakui sudah menghadiri kursus kahwin.
Pasangan itu mula berkongsi mengenai hubungan istimewa mereka sekitar 2019.