KUALA LUMPUR : Kini sedang berbadan dua, pelakon, Nadia Aqilah, mengakui, terpaksa merehatkan dirinya daripada aktif berlakon buat masa ini bagi memberi tumpuan kepada kesihatan kandungannya.
Menurut Nadia, usia kehamilannya kini telah memasuki lapan bulan dan tentunya dia perlu memberi tumpuan kepada penjagaan diri selain mahu memastikan anak sulungnya, Senja, mendapat perhatian penuh.
“Diam tak dia, tinggal lagi sebulan saya akan melahirkan anak kedua ini. Rasa macam tak percaya pun ada sebab perasaannya seakan baru sahaja melahirkan Senja. Kini dia pun sudah semakin membesar.
“Insya-Allah, anak kedua ini dijangka bakal dilahirkan pada 27 Mac ini, beberapa hari selepas seluruh umat Islam akan berpuasa. Disebabkan itu, saya memang tak ambil dah sebarang tawaran lakonan.
“Saya anggap ia macam satu tempoh bertenang. Lagipun, saya mahu luangkan masa lebih dengan Senja. Dia pun sudah tahu bakal jadi kakak dan dapat adik. Nampak macam dia teruja juga itu,”katanya.
Nadia berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem terbaharunya berjudul Eva yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur baru baru ini.
Sementara itu, berkongsi mengenai pengalaman hamil kali kedua, kata Nadia, dia masih mengalami simptom ‘morning sickness’ yang sama seperti kehamilan pertamanya.
“Saya mengalami morning sickness setiap hari, muntah-muntah yang agak banyak juga. Sama sahaja macam hamilkan Senja dulu. Tapi saya reda lah, nak buat macam mana memang begitu situasinya kalau sedang mengandung,” katanya.
Dalam pada itu, Nadia sempat berkongsi beberapa gurauan yang diterima daripada orang terdekat mengenai nama bakal anak keduanya itu bila ada yang mencadangkan anak itu diberi nama Ramadan.
“Bila saya bagi tahu kawan dan keluarga yang saya akan lahir bulan puasa, ramai pula yang bergurau kata nanti saya mesti letak nama Ramadan atau Puasa, terhibur saya dengar tapi tidak la begitu kot,”katanya.
Untuk rekod, Nadia telah mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihan iaitu Saiful Ridzuan pada April 2018.
Hasil perkongsian hidup mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata sulung bernama Senja Aqilah yang kini berusia empat tahun.