Mummy mungkin berlebihan, tapi bukankah ini pentas hiburan? - Sharnaaz Ahmad - Utusan Malaysia

Mummy mungkin berlebihan, tapi bukankah ini pentas hiburan? – Sharnaaz Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Sharnaaz Ahmad, 38, tidak menolak, kritikan pedas yang dilontarkan oleh Mas Idayu terhadap Sissy Imann pada program Famili Duo minggu keenam lalu mungkin kedengaran kasar atau berlebihan.

Namun, mengenali Mas Idayu, kata Sharnaaz, penyanyi itu cuma menjalankan tugasnya sahaja selain menganggap dia tidaklah seburuk yang disangka orang ramai.

“Kalau sesiapa yang mengenali dia, pasti tahu dia baik orangnya. Tetapi tak dinafikan, mungkin ketika dia memberikan komen tempoh hari terhadap Sissy, agak berlebihan. Tak boleh salahkan dia yang berada di kerusi juri atau Sissy yang berada di pentas.

“Kena faham, inilah pentas hiburan dan program ini dibuat untuk apa? Hiburan bukan? Sissy sudah sedaya upaya nak buat persembahan yang menghiburkan manakala juri yang di bawah pula hanya buat kerja mengikut cara tersendiri,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Selain itu, kata pelakon filem Jebat ini, penonton juga harus tahu bahawa pihak stesen televisyen memainkan peranan di sebalik penghasilan bahan kandungan untuk paparan penonton.

“Mungkin cara Mas Idayu menyampaikan komen sebegitu adalah apa yang dimahukan oleh pihak stesen tv. Bila komen kedengaran pedas, ia memberi warna kemeriahan pada program itu dan ia adalah apa yang digalakkan oleh pihak program.

“Jadi sekarang ini kena tanyalah pada stesen tv, apa petunjuk prestasi utama (KPI) yang mereka mahukan dari juri yang ditugaskan. Malah, saya pun tertanya juga, kalau tahu penyanyi itu tak boleh bawa sesebuah lagu itu, kenapa beri juga pilihan lagu itu kepada dia?

“Macam pelawak, kalau tahu dia itu tidak lawak, tetapi penerbit program ambil juga, kenapa? Sebab dia boleh jadi bahan bualan netizen. Itulah satu konsep hiburan,”katanya.

Dalam pada itu, Sharnaaz berharap semua pihak memahami permainan dunia ‘show bisnes’ yang tentunya bergantung kepada rating atau jumlah tontonan yang tinggi untuk sesebuah program.

“Apa sahaja yang keluar di tv adalah bisnes. Sudah tentulah bukan suka-suka semata, semuanya mahu rating. Bagi saya, semua pihak usah pandang satu benda atau konsep pada satu skop yang kecil.

“Kenalah faham bahawa ini adalah dunia hiburan. Buat Sissy, ‘chill’ sahaja, mummy pun kena bertenang juga. Buat penonton, enjoy sahaja ‘drama’ ini,”katanya.

Terdahulu, nama Sissy menjadi bualan ramai selepas dia dilihat menitiskan air mata apabila menerima kritikan pedas daripada Mas Idayu ketika konsert keenam program Famili Duo pada Ahad lalu.

Menerusi kritikan tersebut, Mas Idayu berpendapat persembahan Sissy yang berpasangan dengan Naim Daniel ketika menyanyikan lagu Jampi milik Hael Husaini dalam versi keroncong tidak mencapai piawaiannya.

Perkara tersebut menggores hati Sissy yang berpendapat dia tidak lagi disayangi oleh muzik sehingga sanggup membatalkan pelancaran album terbaharunya yang dirakam di London pada tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya