KUALA LUMPUR : Komposer dan penerbit lagu terkemuka tanah air, Aubrey Suwito, menyelar tindakan stesen televisyen yang mengejar rating menerusi sesebuah program dengan cara mencipta ‘drama’ sensasi bagi tujuan tular di platform media massa.
Menurut Aubrey, tindakan seperti itu tidak mustahil mampu membantutkan perkembangan artis yang terlibat termasuk industri muzik negara secara keseluruhannya.
“Demikianlah program tv hiburan Malaysia. Semuanya tentang ‘drama’ bukan? Lagi banyak komen pedas, lagi bagus. Panas! Viral! Sudah jadi isu. Malah, nampaknya, penonton juga suka dengan perkara begitu.Ini pandangan saya dari sudut muzikal.
“Genre muzik kebiasaannya adalah berbeza. Ia memerlukan kekuatan, gaya dan bakat yang berbeza. Adakah anda jangka seorang pemain bola sepak dapat jadi seorang pemain tenis atau hoki pada satu masa yang sama?
“Contohnya, muzik keroncong perlukan vokal yang lembut, kena tahu lenggok dan dinyanyikan dengan gaya yang tenang. Muzik rock pula perlukan vokal yang keras, tidak berlenggok dan perlu dinyanyikan dengan gaya ‘menyerang’. Nampak tak perbezaanya?”katanya.
Aubrey berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook dan Twitter, semalam.
Selain itu, tambah Aubrey, tidak semua artis boleh membawakan genre muzik yang versatil.
“Tentu, ada segelintir artis boleh bawa pelbagai genre, tetapi adakah itu yang kita semua mahukan? Adakah ia penting sangat? Adakah kita suka Anuar Zain atau Datuk Sheila Majid kerana mereka itu versatil?
“Bagaimanapun, saya suka Ella punya versi lagu Jauh Di Mata walaupun dia bawa dengan cara ‘Ella’. Tetapi di sini, setiap minggu, program hiburan menjangkakan artis-artis ini untuk jadi versatil dengan mencampakkan setiap genre dan mengharapkan sebuah persembahan daripada mereka.
“Kalaulah kumpulan Blackpink itu ada di sini, agaknya kita pun jangkakan mereka bawakan lagu asli satu hari nanti. Kelakar tak?” katanya.
Selain itu, Aubrey juga mengharapkan agar semua pihak memfokuskan kepada kekuatan dan keunikan bakat seseorang artis itu berbanding cuba untuk memalukan mereka.
Malah, secara peribadi, kata Aubrey, tindakan memalukan seseorang artis di program siaran langsung perlu dihentikan.
“Hentikanlah. Nak marah, jumpa artis itu di bilik persalinan selepas ‘show’. Tetapi ya, saya tahu tindakan memalukan itu boleh menaikkan rating tv.Ilmu muzik juga perlu ada bagi seseorang juri itu jika mahu melontarkan komen membina. Namun, tidak semua orang ada itu.
“Bertahun-tahun saya berada dalam industri, apa yang saya pelajari, kata-kata yang lembut mampu memberi impak berbanding kata-kata yang menjatuhkan,”katanya.
Dalam pada itu, Aubrey juga memberi kata-kata semangat buat mana-mana artis yang dikritik di program tv untuk tidak mudah putus asa selain mengekalkan identiti serta kekuatan gaya muzikal masing-masing.
Terdahulu, persembahan Sissy Imann dan Naim Daniel menerusi lagu Jampi nyanyian asal Hael Hussaini pada minggu keenam, program realiti Famili Duo menerima kritikan pedas daripada juri tetap, Mas Idayu yang menganggap mereka tidak membawakan lagu itu dengan baik.
Bagaimanapun, Sissy tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata sebaik saja menerima kritikan berkenaan.
Dalam perkongsian di Instagram, Sissy juga meminta maaf kerana nyanyiannya pada konsert minggu keenam Famili Duo itu mengecewakan ramai pihak sekali gus menganggap dirinya tidak lagi disayangi dalam bidang muzik.
Kritikan pedas Mas Idayu pada persembahan Sissy itu turut mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya kurang bersetuju dengan cara kritikan juri tetap program realiti itu.