Covid-19: Siti Rosmizah dipantau dua minggu

Covid-19: Siti Rosmizah dipantau dua minggu

Siti Rosmizah Semail, yang dilaporkan kritikal selepas dijangkiti Covid-19 diletakkan di bawah pemantauan doktor sekurang-kurangnya dua minggu lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit drama dan penulis novel terkenal, Siti Rosmizah Semail, yang dilaporkan kritikal selepas dijangkiti Covid-19 diletakkan di bawah pemantauan doktor sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Perkara itu dimaklumkan Penerbit Eksekutif SR One Sdn. Bhd, Syed Muhamad Izzudin Syed Akil, 36, ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Menurut Syed, Rosmizah mula menunjukkan reaksi positif selepas direhatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di ibu negara, semalam.

“Saya dan suami Rosmizah cuba melawatnya, semalam, tetapi tidak dibenarkan masuk kerana dia masih dalam kuarantin. Namun, doktor yang merawat memberitahu, keadaannya semakin baik selepas diberikan ubat dan direhatkan.

“Menurut doktor, Rosmizah dijangkiti Covid-19, selain terdapat jangkitan kuman pada paru-parunya.

“Jadi, doktor perlu menahannya selama dua minggu untuk rawatan lanjut dan pemantauan rapi,” katanya.

Berkongsi mengenai simptom awal yang dialami Rosmizah, kata Syed, dia dimaklumkan suami penerbit itu, Mazelan Zainol Abidin mengenai keadaannya yang demam dan batuk-batuk teruk sejak dua hari lalu.

“Tetapi, demam yang dialaminya tidak teruk, cuma sehari sebelum masuk hospital, dia batuk tidak berhenti. Melihat keadaannya, dia segera dibawa ke hospital.

“Doktor memaklumkan, keadaannya agak kritikal. Saya agak terkejut mendapat tahu keadaannya kerana ketika menghubunginya beberapa hari lalu, dia kedengaran okey.

“Hanya dia positif, manakala suami dan dua anak lelakinya negatif,”katanya.

Sementara itu, Syed berkata, dia masih meneruskan kerja penggambaran drama Andai Itu Takdirnya, karya Rosmizah yang telah bermula sejak sebulan lalu.

Semalam, berita mengenai Rosmizah yang dikatakan kritikal akibat jangkitan Covid-19 telah dikongsi menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram.

“Mohon sahabat-sahabat serta semua yang mengenali Siti Rosmizah sama-sama untuk doakan dia kembali pulih daripada Covid-19.

“Dia kini berada di ICU dan dalam keadaan kritikal,” jelas kenyataan tersebut.

Rosmizah terkenal dengan karya seperti 7 Hari Mencintaiku dan Jangan Menangis Cinta yang mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan peminatnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN