KUALA LUMPUR: Masih dalam fasa berbulan madu, penyanyi, Zizi Kirana, tidak menyangka hasrat untuk ke Tanah Suci Mekah menunaikan ibadah umrah bersama suami, Yusuf Bahrin, bakal terlaksana pada 24 Januari ini.
Menurut Zizi, sebelum berkahwin, dia pernah memasang angan-angan untuk menunaikan umrah di Mekah bersama pasangan dan tidak menyangka perkara itu kini menjadi realiti.
“Ini kali pertama saya ke Tanah Suci dan tidak sangka, hajat untuk pergi bersama pasangan hidup, Allah SWT kabulkan.
“Semasa bujang, kalau orang tanya destinasi mana yang dihajati untuk berbulan madu, saya tidak sebut London atau apa. Sebaliknya, saya mahu pergi Mekah.
“Dulu, paling jauh saya pernah pergi adalah Jakarta, Indonesia. Itupun bersama keluarga. Tidak sangka doa saya yang satu ini akhirnya termakbul,” katanya.
Selain itu, kata Zizi, memandangkan dia juga bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-38 pada 23 Januari ini, peluang ke Mekah bersama suami dianggap sebagai antara hadiah hari lahir paling bermakna.
“Hari jadi saya jatuh sehari sebelum kami berangkat ke sana. Jadi, secara tidak langsung ia seperti hadiah hari lahir saya juga. Syukur sangat dan apabila dapat tahu kami mendapat tempat untuk ke sana, saya anggap ia berita yang paling menggembirakan.
“Saya minta Yusof kosongkan jadual pada bulan ini. Disebabkan itu, Yusof secara baik telah menolak beberapa tawaran berlakon yang datang.
“Dia kata pada saya, tidak mengapa, utamakan hajat ke Mekah dahulu sebab sudah niat. Saya syukur sangat suami benar-benar memahami,” katanya.
Ditanya perancangannya untuk 2023, penyanyi lagu Eh dan Pijak ini berkata, dia sudah menyusun beberapa lagu untuk dilancarkan pada tahun ini.
“Saya akan berada di Tanah Suci selama 13 hari dan selepas selasai semua urusan, saya mula memberi tumpuan untuk single baharu pula.
“Insya-Allah, kalau tiada aral akan ada sebuah single duet bersama Andi Bernadee. Rakaman dan penggambaran video muzik juga sudah dijalankan,” katanya.
Zizi dan Yusof mendirikan rumah tangga pada 16 September 2021.