KUALA LUMPUR : Penyanyi, Syamel, 30, meluahkan rasa syukur keadaan kesihatan bapanya, Mohd Fodzly, semakin menunjukkan petanda positif selain kini sudah dipindahkan ke wad biasa bermula semalam.
Menurut Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, dia dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa jangkitan kuman pada paru-paru bapanya sudah semakin berkurangan hasil rawatan selama seminggu di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Setelah seminggu di ICU, Alhamdulillah, ayah kini sudah dipindahkan ke wad biasa. Setakat ini, jangkitan kuman pada paru-paru sudah semakin kurang dan pemeriksaan darah juga menunjukkan ayah berada di tahap yang selamat.
“Namun, dia masih perlu dirawat dan doktor juga nak fokus kepada rawatan fisioterapi memandangkan ayah sudah lama sangat baring di katil. Doktor mahu lihat dia boleh berjalan sikit sebab itu adalah masalah yang dialami ayah, susah nak berjalan.
“Tetapi apa pun Alhamdulillah, kami sekeluarga lega lihat progres positif ayah kini.Apa yang penting dia sihat dan semakin pulih,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, Syamel juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk peminat yang telah mendoakan kesihatan dan kesembuhan bapanya.
“Terima kasih semua yang telah memanjangkan doa-doa yang baik buat kami dan kesihatan ayah. Saya amat menghargainya.
“Cuma sekarang, belum pasti lagi bila ayah akan dibenarkan keluar dari hospital sebab doktor perlu lakukan pemeriksaan lagi.Kemungkinan pada minggu ini atau minggu depan. Tengok keadaan dia,”katanya.
Pada 11 Januari lalu, Syamel telah membuat perkongsian di Instagram dan memohon doa semua pihak berhubung keadaan bapanya yang sedang dirawat di ICU.
Tidak cuma itu, isterinya, penyanyi, Ernie Zakri, juga meluahkan rasa sedih dengan situasi tersebut namun terpaksa meneruskan Showcase This Is Ernie Zakri di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada hari yang sama.