KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli, 39, mengakui, sejak mendirikan rumah tangga dengan Uqasha Senrose, banyak aktiviti yang sedaya upaya cuba dipenuhi, terutama apabila melibatkan kedua-dua keluarga.
Menurut Kamal, dia dan isterinya sangat mengutamakan keluarga dan seandainya tidak terikat dengan jadual kerja, mereka gemar meluangkan masa melakukan pelbagai aktiviti.
“Sudah setahun kami berumah tangga dan sejak berkahwin, saya seronok dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama isteri dan keluarga. Kalau ada undangan, memang kami cuba penuhi.
“Contohnya, ketika pulang ke kampung Uqasha di Kelantan semasa sambutan hari raya Aidiladha. Itu merupakan kali pertama saya sambut raya haji di sana.
“Sebelum ini, saya selalu dengar sambutan raya haji di Kelantan memang meriah. Bila berkahwin dengan orang Kelantan, dapat juga saya melalui suasana itu. Tidak sangka memang seronok.
“Uqasha pula kalau dapat peluang balik kampung, memang dia sangat gembira. Tidak apa, asalkan dia gembira, saya pun bahagia,” katanya.
Kamal berkata, dia akur, kehidupan berumah tangga dan menggalas tanggungjawab sebagai suami bukan tugas yang mudah.
Malah, katanya, walaupun usia perkahwinan mereka masih baharu, sebagai suami, setiap hari dia mencuba untuk melakukan yang terbaik demi isteri tercinta.
“Alhamdulillah, banyak benda yang saya dan Uqasha belajar sepanjang menjadi suami isteri. Memang tidak sama seperti ketika masih bujang. Saya selalu ingatkan diri, apabila sudah bergelar suami, tanggungjawab saya lebih besar.
“Menggalas status ini banyak mematangkan saya, begitu juga Uqasha. Apabila hidup berdua, kita kena sama-sama mengharungi susah senang dan bertolak ansur, itu antara kuncinya.
“Saya bersyukur kerana kehidupan kami berdua baik-baik sahaja. Kalau dulu saya keluar seorang, tetapi sekarang apabila pergi ke sesuatu tempat, pasti akan ada yang bertanya di mana Uqasha. Di situlah kemanisannya,” katanya.
Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 pada majlis akad nikah secara tertutup di Janda Baik, Pahang.