Wawa Zainal tegar harungi ranjau hidup - Utusan Malaysia

Wawa Zainal tegar harungi ranjau hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA wanita ini tidak pernah pudar dari lembaran dunia hiburan tanah air. Ada sahaja namanya berputar, cuma isinya mungkin berbeza. Hari ini ditatang, dipuji setinggi langit dan esok, mungkin dikecam, dimaki sehinanya.

Itu realiti yang harus ditelan seiring populairiti. Mahu atau tidak, Wawa Zainal perlu berjalan terus. Tidak ada istilah menoleh ke belakang. Apa pun jadi, dia tegar melawan ombak yang menghempas.

Dia bukan artis paling popular negara. Malah, mungkin tiada barisan trofi sebagai bukti populariti. Namun, dia masih kekal relevan. Melebar sayap seni dan perniagaan untuk terus terbang tinggi.

Hakikatnya, perjalanan itu tidak semudah mematahkan sebatang pensil. Dia pernah menelan hinaan, meneguk tohmahan hanya kerana memilih cinta berbanding kerjaya. Perkahwinan yang dibina 11 tahun lalu, masih berbekas sensasinya.

“Pengalaman pahit banyak mengajar saya. Dihina, dimaki hanya kerana memilih untuk berkahwin di usia muda. Banyak mulut mengandaikan masjid yang dibina ini tidak akan bertahan lama.

“Mereka mengatakan kami tidak akan mampu hidup sendiri. Perjalanan kami akan dipenuhi onak ranjau, kehidupan akan susah. Itu semua andaian dan ‘doa’ mereka. Bayangkan di usia muda, saya perlu telan semua itu,” kongsinya.

Namun 11 tahun usia perkahwinan, mereka masih bersama mengemudi bahtera cinta. Baik Wawa dan suaminya, Aeril Zafrel, setiap apa yang dilalui adalah dugaan yang pasti berbalas kebahagian.

Tidak mungkin dia mampu melupakan, lumpur penghinaan dalam hidupnya menjadi tiang untuknya berpaut. Kekuatan untuk dia terus bangkit dan membuktikan, hanya Tuhan penentu segalanya.

“Banyak memori silam yang sudah saya lalui sepanjang bergelar anak seni. Bermula sebagai pelakon cilik dan pembantu, saya bina nama serta kerjaya dengan bakat sendiri. Saya juga sudah lama tidak berlakon.

“Tetapi masih ada peminat setia yang sentiasa memberi sokongan. Sosial media juga banyak membantu. Mungkin itu yang membuatkan saya masih relevan. Mungkin juga Aeril juga pelakon, ada peminatnya,” katanya.

Lantas di mana kekuatan anak kelahiran Sabah ini untuk terus melangkah? Di kala dia ibarat papan sasaran kecaman segelintir warganet, pemilik nama Nur Hawa Zainal Abidin ini tetap gagah mengukir senyuman.

“Suami, anak-anak dan keluarga. Tetapi yang paling penting, adalah diri sendiri. Saya mahu keluar dari fasa kesusahan. Dari kecil hidup saya susah. Awal perkahwinan pun, cukup sukar untuk kami.

“Jadi saya bulatkan semangat, mahu bawa keluarga diri dan keluarga dari kepompong kesusahan itu. Sentiasa ingatkan diri, jangan mudah mengalah. Kena kuat,” kongsi pelakon Sabda Kekasih itu.

SELAMAT TINGGAL DUNIA SENI?

Membuka gelanggang bicara soal kerjaya seni, Wawa mengakui tidak pernah mengatakan selamat tinggal kepada dunia lakonan. Baginya, itu adalah cinta pertama dan kekal buat selama-lamanya.

Namun dia sedar, persepsi segelintir pemain industri yang mengandaikan dia sudah tidak lagi berlakon mungkin menjadi punca kebanyakkan produser dan penerbit tidak menwarkan sebarang naskhah kepadanya.

“Ramai ingat saya sudah bersara. Hanya fokus perniagaan dan keluarga. Hakikatnya, saya tidak pernah cakap mahu meninggalkan dunia seni. Itu minat saya dari kecil. Saya memang menanti tawaran sesuai.

“Sekiranya sesuai dengan jadual dan tidak memerlukan komitmen masa yang panjang, saya terbuka. Rindu sebenarnya nak masuk set penggambaran. Apatah lagi, ini adalah cinta pertama saya,” katanya.

‘Kehilangan’ wajah ibu empat orang anak dari layar kaca dan perak menimbulkan persepsi, adakah dia kecewa dan merajuk dengan sepak terajang dunia seni? Apakah ada sesalan yang tersirat?

“Tak adalah, tak pernah pun saya rasa kecewa, putus asa apatah lagi merajuk. Saya bermula sebagai pelakon dan kini bergelar usahawan. Kerjaya itu yang banyak bantu saya. Orang sudah kenal.

“Sebenarnya saya lebih kepada bersyukur. Walaupun sudah saya tidak terlalu aktif sebagai pelakon, masih ada ramai yang ternanti-nanti naskhah lakonan saya. Penghargaan itu yang cukup membahagiakan,” ujar pelakon Longkai itu.

DEMI ANAK-ANAK

Enam tahun membina perniagaan, Wawa akui setiap jerih perih dan pengorbanan yang dilakukan adalah demi kesenangan anak-anak pada masa akan datang. Kesenangan untuk diwarisi mereka kelak.

Tidak hanya keringat menjadi saksi, malah pengorbanan masa bersama keluarga di permulaan membina empayar Wawa Kosmetik juga menjadikan dia lebih menghargai setiap rezeki yang diraih.

“Semua usahawan mahu mengembangkan perniagaan mereka. Bukan kejayaan untuk setahun, dua tetapi untuk satu tempoh yang boleh diwarisi oleh anak-anak serta generasi kami akan datang.

“Saya fikir masa adalah pengorbanan terbesar saya dalam membangunkan empayar ini. Semua itu demi anak-anak. Sudah enam tahun, tetapi saya tetap perlu kerja keras. Tidak boleh ambil mudah.

“Kelak, anak-anak akan mewarisi semua ini. Saya mahu berehat. Nak lebih mendekat diri kepada Tuhan. Mahu menikmati masa bersama suami dan anak-anak,” katanya wanita berusia 31 tahun ini.

Namun tetap ada yang mencemuh cara mereka membesarkan anak. Dikatakan terlalu berlebihan dan memanjakan zuriat mereka dengan kemewahan.

“Saya rasa kami tidaklah memanjakan sangat anak-anak. Tetap ada yang boleh dan tidak boleh. Alhamdulillah, anak-anak memahami. Tak semua mereka mahu, kami beri. Tak semua benda dapat.

“Selain perniagaan untuk diwarisi, kami didik mereka dengan ajaran agama. Itu lebih penting untuk kami kelak. Manjakan anak tidak salah, cuma kami tahu, tidak boleh berlebihan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya